fb fb fb fb fb

PBB kecam serangan Israel ke atas Hospital Nasser

FOTO REUTERS

NEW YORK, 26 Ogos - Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, mengecam keras serangan udara Israel yang mengenai Hospital Nasser di Khan Younis, selatan Gaza, pada Isnin.

Menurut jurucakap beliau, Stephane Dujarric, sekurang-kurangnya 20 rakyat Palestin terbunuh termasuk lima wartawan, petugas perubatan serta orang awam.

“Setiausaha Agung mengecam keras pembunuhan rakyat Palestin dalam serangan udara Israel ke atas Hospital Nasser. Mereka yang terkorban termasuk petugas perubatan dan wartawan. Beliau menyampaikan takziah kepada keluarga serta rakan-rakan wartawan terbabit, khususnya wakil Associated Press, Reuters dan Al Jazeera,” katanya.

Guterres turut menggesa siasatan segera dan berkecuali terhadap insiden itu serta menegaskan semula seruan gencatan senjata kekal, akses kemanusiaan tanpa halangan di Gaza dan pembebasan semua tebusan tanpa syarat.

Sementara itu, pihak berkuasa kesihatan Gaza mengecam serangan ke atas satu-satunya hospital awam yang masih berfungsi di selatan Gaza, menyifatkannya sebagai kesinambungan pemusnahan sistem kesihatan.

Tentera Israel dalam kenyataan mengakui melancarkan serangan ke kawasan Hospital Nasser dan menyatakan kekesalan atas kehilangan nyawa orang awam. Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, pula menyifatkan serangan itu sebagai "kemalangan tragis" dan memaklumkan siasatan sedang dijalankan.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE