fb fb fb fb fb

Lima termasuk ibu dan anak kecil terbunuh dalam serangan udara Myanmar

(FOTO HIASAN)

BANGKOK, 15 Januari - Seorang ibu dan anak kecil antara lima yang terbunuh dalam serangan udara tentera di timur Myanmar, kata kumpulan pemberontak etnik Karen dan kumpulan bantuan, semalam.

Pergolakan di Myanmar terus berlaku sejak pemimpin kerajaan awam, Aung San Suu Kyi digulingkan dalam rampasan kuasa tentera hampir dua tahun lalu, menamatkan tempoh singkat demokrasi negara Asia Tenggara itu.

"Empat jet pejuang junta dilaporkan menggugurkan lapan bom di kampung di daerah Hpapun pada petang Khamis lalu dan mengorbankan lima orang," kata Kesatuan Kebangsaan Karen dalam satu kenyataan.

Sementara itu, menurut kumpulan pemberontak etnik di Karen, empat yang lain turut dilaporkan cedera.

(FOTO AFP)

Sebahagian besar etnik itu mendiami timur Myanmar yang terletak berhampiran sempadan Thailand.

Junta Myanmar telah dihubungi untuk mendapatkan komen tetapi tidak memberi sebarang maklum balas.

Dalam pada itu, Kumpulan bantuan Kristian Free Burma Rangers berkata kakitangannya tiba di perkampungan Lay Wah di Hpapun beberapa jam selepas bom memusnahkan dua gereja dan sebuah sekolah.

"Beberapa penduduk telah kembali ke kampung dan mereka menunjukkan lima mangsa yang terbunuh.

"Seorang ibu dan anaknya yang dianggarkan berusia tiga tahun meninggal dunia di tempat kejadian," kata kumpulan itu dalam satu kenyataan.

Seorang paderi Baptist dan seorang paderi Katolik adalah antara yang terkorban, kata kenyataan Free Burma Rangers.

Menurut kumpulan itu, penduduk kampung melarikan diri ke dalam hutan sebelum serangan udara dan jumlah korban mungkin menjadi lebih tinggi sekiranya kanak-kanak masih berada di dalam kelas mereka.

"Kami melihat banyak rumah yang rosak dan bumbungnya musnah," katanya.

Selain itu, Jurucakap Tentera Pembebasan Kebangsaan Karen memberitahu AFP, terdapat satu lagi serangan udara yang dilakukan Jumaat lalu.

"Kami akan terus melihat jenis insiden ini kerana kami tidak mempunyai sistem pertahanan udara," katanya.

Lebih 2,700 orang awam terbunuh sejak tentera merampas kuasa pada Februari 2021, menurut kumpulan pemantau tempatan. -AFP

Media Baharu