fb fb fb fb fb

Lima terkorban akibat tanah runtuh di Phuket

Tanah runtuh berlaku di salah sebuah hotel penginapan di Phuket. Dua lagi mayat masih tidak dapat dikeluarkan/Foto Khaosod

BANGKOK, 23 Ogos - Lima terkorban dalam kejadian tanah runtuh akibat hujan lebat di pulau peranginan popular di Phuket, Thailand.

Sepasang suami isteri dari Rusia yang sedang bercuti turut terkorban, manakala pihak berkuasa sedang mengenal pasti mangsa lain.

Hujan lebat yang bermula pada pukul 2 pagi waktu tempatan menyebabkan tanah runtuh merosakkan beberapa buah kediaman.

Penduduk di kawasan tersebut dikhuatiri terperangkap.

Tanah runtuh itu melanda kawasan perumahan di pulau tersebut, termasuk kawasan hotel dan pangsapuri yang disewa oleh pelancong.

Pada minggu ini, Thailand dilanda hujan monsun lebat terutama di kawasan pantai selatan dan utara negara itu.

Menurut Kementerian Kesihatan, banjir yang berlaku telah membunuh lima orang dan mencederakan 32 orang sepanjang bulan lalu.

Di Phuket, pihak tentera, kumpulan sukarelawan, dan polis telah dikerahkan untuk mencari mangsa yang lain.

Bagaimanapun ramalan hujan lebat mungkin akan mengganggu operasi mencari dan menyelamat.

Meskipun Thailand biasa menghadapi hujan monsun setiap tahun, perubahan iklim akibat aktiviti manusia boleh menyebabkan cuaca menjadi lebih ekstrem, sehingga meningkatkan risiko banjir yang lebih dahsyat.

Contohnya, banjir besar pada tahun 2011 telah mengorbankan lebih daripada 500 nyawa dan memusnahkan berjuta-juta rumah di seluruh negara. - AFP

GRACE AISYAH KEDAYAN