PAKISTAN, 23 Ogos - Jumlah korban dalam serangan bersenjatakan pelancar roket grenad (RPG), ke atas konvoi anggota polis di Pakistan telah meningkat kepada dua belas orang.
Kumpulan bersenjata yang aktif di sempadan sungai Sindh dan Punjab difahamkan sering melakukan penculikan dan rompakan untuk mendapatkan wang tebusan.
Jurucakap polis, Saif Ali Wains berkata, sekurang-kurangnya dua belas anggota polis telah maut dan lapan lagi individu cedera dalam serangan itu.
Dalam kejadian itu, dua van polis yang membawa 22 anggota diserang ketika salah satu van yang dinaiki mereka mengalami kerosakkan akibat banjir.
Wains menyatakan bahawa geng tersebut kemudian menggunakan pelancar roket untuk menyerang pegawai yang terkandas.
Dalang utama di sebalik serangan berdarah itu juga telah dibunuh dalam operasi pada hari kejadian.
"Operasi akan diteruskan sehingga semua pelaku ditangkap," kata kenyataan tersebut hari ini.
Tentera melancarkan operasi berskala penuh terhadap geng jenayah di Sindh pada awal 1990-an bagaimanapun mereka muncul semula kerana kegagalan kerajaan dalam mengekalkan undang-undang di wilayah tersebut.
Perdana Menteri Shehbaz Sharif mengarahkan tindakan segera dan berkesan terhadap penyerang yang tidak bertanggungjawab dalam kejadian itu. - AFP