fb fb fb fb fb

Lima lagi rakyat Palestin terbunuh

Foto AFP

TULKAREM, 23 Julai- Sekurang-kurangnya lima rakyat Palestin termasuk dua wanita terbunuh dalam serbuan Israel di kem pelarian Tulkarem, utara Tebing Barat, pagi tadi.

Menurut jurucakap Bulan Sabit Merah Palestin, kejadian berkenaan turut menyebabkan seorang lelaki berusia 30 tahun mengalami kecederaan parah selepas ditembak Israel di bahagian perut, paha dan tangan.

"Bulan Sabit Merah Palestin juga merawat tiga wanita akibat terkena serpihan tembakan berkenaan," katanya kepada AFP.

Dalam pada itu, agensi berita rasmi Palestin (WAFA) berkata, lebih 25 kenderaan tentera, termasuk jentolak, menyerbu kem itu selain menghalang lorong-lorong kawasan terbabit.

Keganasan di Tebing Barat meningkat sejak konflik Israel-Hamas bermula pada 7 Oktober lalu.

Sekurang-kurangnya 579 rakyat Palestin telah dibunuh Israel di Tebing Barat sejak konflik itu bermula, menurut Kementerian Kesihatan Palestin. - AFP

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM