JOHANNESBURG, 28 November- Sebuah lif yang membawa pekerja ke permukaan lombong platinum di Afrika Selatan dilapor terjatuh dan membunuh 11 pekerja serta mencederakan 75 yang lain.
Syarikat pengusaha lombong, Impala Platinum memaklumkan, kemalangan dahsyat itu berlaku semalam di lombong Rustenburg, barat laut Johannesburg ketika lebih 80 pekerja berada pada penghujung syif mereka.
"Amaran diterima sekitar sebelum pukul 5.00 petang (waktu tempatan) ketika lif secara tiba-tiba menjunam turun. Ia kemudian dihentikan oleh jack catches," menurutnya.
Jack catches adalah sistem keselamatan yang bertujuan menghentikan lif atau kereta api bawah tanah daripada berpatah balik sekiranya berlaku kemalangan.
Tambah syarikat itu, 75 pekerja yang cedera telah dipindahkan ke hospital tempatan untuk rawatan.
Difahamkan, ada dalam kalangan mereka cedera parah, manakala kebanyakan mangsa pula patah buku lali dan kaki.
Semua operasi di lombong terbabit telah digantung untuk siasatan pihak berkuasa. -AFP