fb fb fb fb fb

Jong Un 'tinjau' White House melalui satelit pengintip

Pembaca berita KRT, Ri Chun Hee/Reuters

PYONGYANG, 28 November- Satelit pengintip Korea Utara yang dilancarkan baru-baru ini berjaya menangkap beberapa imej penting termasuk White House dan Pentagon di Washington D.C., serta pesawat Amerika Syarikat (AS) di pangkalan tentera laut Norfolk.

Televisyen Korea Utara (KRT) melaporkan, Pemimpinnya, Kim Jong Un telah menerima imej-imej berkenaan.

"(Jong Un) menerima gambar satelit termasuk White House dan Pentagon di Washington D.C. pada 27 November (semalam), 11:36 malam.

"Empat kapal pengangkut pesawat nuklear Tentera Laut AS serta sebuah kapal pengangkut pesawat British juga dilihat dalam gambar yang diambil di pangkalan tentera laut Norfolk dan Newport News Shipbuilding di Virginia, Amerika Syarikat," lapor KRT.

Minggu lalu, Korea Utara mengumumkan negaranya berjaya melancarkan satelit pengintip pertama yang didakwa direka untuk memantau pergerakan tentera AS dan Korea Selatan.

Imej terbaharu serta beberapa siri imej sebelum ini termasuk ibu kota Korea Selatan di Seoul dan pangkalan tentera AS yang dihantar satelit terbabit disifatkan sebagai "kawasan sasaran utama".

Bagaimanapun, media kerajaan masih tidak mengeluarkan imej tersebut kepada umum. -Reuters

SITI AISHAH BINTI MD ISA