SHANGHAI, 28 November- Beratus-ratus atlet di China seawal usia tujuh tahun dihantar untuk menjalani latihan ketenteraan di sini bertujuan meningkatkan disiplin dan 'kebolehan bertarung'.
Menurut Biro Sukan Shanghai, para atlet akan mempelajari secara mendalam standard dan semangat tempur yang dimiliki tentera China.
He Youxiao, ketua jurulatih pasukan gimnastik lelaki berkata, lingkungan umur atletnya adalah tujuh hingga 25 tahun.
"Tidak kira berapa tua atau muda, semua orang amat menghargai peluang ini," kata He, menurut laporan berita oleh biro sukan.
Terdahulu, Presiden Xi Jinping memaklumkan, China mesti meningkatkan kesediaannya untuk 'pertempuran sebenar' dalam semua bidang termasuk sukan.
Latihan terbabit bermula pada hari Isnin dan dijadualkan berlangsung sehingga Selasa depan melibatkan 932 atlet dari 11 pusat sukan di seluruh bandar.
Sebelum ini, pasukan bola sepak China turut menjalani latihan serupa. -AFP