AQABA, 28 Jun- Letupan gas di pelabuhan Aqaba, Jordan meragut sekurang-kurangnya 10 nyawa dan mencederakan lebih 250 yang lain.
Menurut pihak berkuasa, insiden berlaku apabila sebuah tangki jatuh dari kren dan melepaskan gas kuning beracun.
Rakaman Televisyen Al-Mamlaka menunjukkan, silinder besar yang dikatakan membawa kira-kira 30 tan gas, terjatuh dari kren pada kapal yang berlabuh, menyebabkan pelepasan gas.
Kekuatan letupan menyebabkan sebuah trak yang bergerak tergelincir.
(Rakaman kamera litar tertutup yang disiarkan Stesyen TV Al-Mamlaka menunjukkan
letupan gas berwarna kuning berlaku di pelabuhan Aqaba / Foto AFP)
Letupan itu membuatkan pekerja pelabuhan bertempiaran lari menyelamatkan diri.
Jurucakap kerajaan, Faisal al-Shaboul mengesahkan, angka kematian meningkat kepada 10 orang.
Jurucakap pertahanan awam Amer al-Sartawy pula melaporkan, 251 orang cedera.
Penduduk berhampiran dinasihat tidak keluar rumah.
Perdana Menteri Bishr Khasawneh dan Menteri Dalam Negeri Mazen al-Faraya dilapor bergegas ke lokasi kejadian sebaik dimaklumkan mengenai insiden tersebut.
Timbalan ketua Lembaga Pelabuhan Wilayah Aqaba, Haj Hassan, memberitahu Al-Mamlaka, tali yang mengikat silinder terputus sebelum silinder itu terjatuh dan mengeluarkan gas beracun.- AFP