RAMALLAH, 28 September - Saudara lelaki seorang warga Palestin yang dituduh melakukan serangan maut di Tel Aviv pada April lalu terbunuh dalam serbuan tentera Israel di Tebing Barat pada Rabu, kata beberapa sumber.
Kementerian kesihatan Palestin berkata, askar Israel telah menembak mati seorang lelaki semasa operasi di Jenin, dengan sembilan yang lain cedera dan dua daripadanya parah.
Sumber kerajaan wilayah memberitahu AFP, lelaki yang maut dikenali sebagai Abed Hazem, abang kepada Raad Hazem, yang dituduh sebagai pembunuh tiga warga Israel dalam insiden tembakan di Pusat Hiburan Malam Dizengoff , pada 7 April.
Raad ditembak mati selepas operasi pemburuan besar-besaran tidak lama selepas serangan itu.
(FOTO FAIL/AFP)
Rejim Israel juga memburu bapanya, Fathi dan seorang saudara lelaki.
Tentera Israel menerusi Twitter mengesahkan bahawa pasukannya "beroperasi di Jenin", salah satu kubu musuh, bagaimanapun tidak menyatakan butiran lanjut mengenai serbuan itu.
Sejak Mac, Israel melancarkan beratus-ratus operasi di utara Tebing Barat, termasuk Jenin dan Nablus untuk memburu individu yang didakwa terbabit dalam serangan maut yang menyasarkan warga Israel.
Serbuan itu mencetuskan pertempuran yang menyebabkan pembunuhan berpuluh-puluh orang awam Palestin dan pejuang. - AFP