GENEVA, 29 September- Banyak lagi perlu dilakukan bagi menangani isu kesihatan mental di tempat kerja.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengetengahkan perkara itu pada Rabu ketika membentangkan garis panduan baharu tentang cara mengurangkan tekanan psikologi di tempat kerja.
Agensi PBB untuk kesihatan dan buruh itu menerbitkan dua dokumen, penuh dengan nasihat tentang cara terbaik untuk mencegah dan melindungi risiko kesihatan mental di tempat kerja; memberi amaran bahawa tekanan psikologi memerlukan kos rawatan tinggi sama ada individu atau melibatkan komuniti.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), dianggarkan 12 bilion hari bekerja hilang setiap tahun disebabkan kemurungan dan kebimbangan, menyebabkan kerugian dalam aspek ekonomi hampir AS$1 trilion.
“Masanya untuk beri tumpuan kepada kerja yang boleh memberi kesan buruk kepada kesihatan mental kita," kata Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus dalam satu kenyataan bersama.
“Kesejahteraan individu merupakan alasan cukup kuat untuk bertindak, tetapi kesihatan mental yang lemah akan memberi kesan kepada prestasi dan produktiviti seseorang.
Pada Jun lalu, agensi kesihatan PBB telah mengeluarkan amaran bahawa hampir satu billion penduduk di seluruh dunia mengalami masalah mental sebelum COVID-19 melanda – dan kemunculan wabak tersebut memburukkan lagi keadaan.
-BILANGAN MEMBIMBANGKAN-
Orang dewasa yang bekerja adalah kumpulan paling terjejas dengan seorang daripada setiap enam orang mengalami gangguan mental pada bila-bila masa, kata WHO.
“Jumlahnya membimbangkan”, kata Manal Azzi, ketua pasukan ILO mengenai keselamatan dan kesihatan pekerjaan kepada pemberita.
“Kami memikul tanggungjawab besar.”
Kebiasaannya, keadaan tempat kerja itu sendiri kerap menjadi pencetus kepada masalah kesihatan mental, amaran yang dikeluarkan kedua-dua agensi tersebut.
Laporan terbaharu itu menyenaraikan 13 garis panduan tentang cara menangani gangguan mental. WHO menekankan bahawa suasana kerja yang lebih bermakna boleh memberi kesan positif kepada kesejahteraan mental, berasa dihargai atas pencapaian diri dan lebih yakin.
Namun menekankan bahawa tempat kerja yang berbahaya atau tidak sihat, hubungan pekerja yang lemah “dengan ketara boleh menyumbang kepada masalah kesihatan mental yang lebih serius atau memburukkan lagi keadaan kesihatan mental sedia ada.”
Keadaan tempat kerja juga boleh menjadikan isu menjadi lebih serius yang menjejaskan kesihatan mental seperti diskriminasi ke atas jantina, umur, etnik, orientasi seksual dan kehilangan upaya atau ketakdayaan,” kata WHO.
Garis panduan baharu turut merangkumi langkah untuk membina pengurusan tekanan kerja, termasuk kesedaran tentang kesihatan mental dan aktiviti fizikal.
-KESIHATAN PERSEKITARAN TEMPAT KERJA “KRITIKAL”-
Namun, mungkin perkara penting adalah "campur tangan organisasi" diperlukan untuk mencegah risiko kepada kesihatan mental di tempat kerja, termasuk mengesyorkan pengurus bahagian latihan untuk mencegah persekitaran kerja yang tertekan dan bertindak balas kepada pekerja yang berdepan kesukaran.
Aiysha Malik dari jabatan kesihatan mental dan penggunan bahan WHO memberitahu wartawan bahawa adalah penting untuk “mengelak pekerja daripada mengalami risiko seperti beban kerja terlalu berat, dibuli, atau hubungan sukar antara rakan sekerja mahupun penyelia.”
Perkara itu perlu diubah, katanya atau kita akan terus “berdepan pengalaman sukar kesihatan mental di tempat kerja, meskipun dengan pelbagai cara atau kaedah pengurusan tekanan” yang ada.
Sebagai tambahan kepada garis panduan baharu itu, WHO dan ILO menerbitkan polisi ringkas bersama mengenai strategi lebih praktikal untuk kerajaan, majikan dan pekerja serta organisasi melindungi dan mempromosi kesihatan mental di tempat kerja.
Panduan itu juga menetapkan cara untuk memberi sokongan kepada individu yang mengalami masalah kesihatan mental seterusnya membantu mereka mencipta kejayaan atau lebih cemerlang di tempat kerja.
“Memandangkan banyak orang (pekerja) menghabiskan masa hidup mereka di tempat kerja, tempat kerja lebih selamat dan sihat adalah kritikal,” kata Ketua ILO, Guy Ryder dalam kenyataan.
“Kita perlu melabur untuk membina budaya mencegah persekitaran tempat kerja yang tidak sihat, seterusnya membentuk persekitaran kerja lebih sihat serta memastikan pekerja berasa dilindungi dalam aspek kesihatan mental mereka.”- AFP