LAGOS, 6 Ogos – Pihak berkuasa kastam di Lapangan Terbang Antarabangsa Lagos, Nigeria merampas lebih 1,600 ekor burung termasuk burung kakak tua dan kenari yang cuba diseludup ke Kuwait tanpa permit sah.
Menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan lewat Isnin (5 Ogos), rampasan pada 31 Julai lalu itu menjadikannya antara rampasan terbesar dalam beberapa tahun.
Ia susulan pegawai kastam mengesan muatan burung hidup termasuk spesies seperti parkit berleher cincin (ring-necked parakeets) dan kenari muka kuning (yellow-fronted canaries).
Perkhidmatan Kastam Nigeria memaklumkan beberapa ekor burung berwarna-warni dimasukkan ke dalam peti penghantaran.
Nigeria kini dikenali sebagai hab transit bagi penyeludupan hidupan liar dan produk berkaitan, dan merupakan negara penandatangan kepada Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Spesies Fauna dan Flora Liar yang Terancam (CITES).
Laporan Hidupan Liar Dunia 2024 dari Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) memaklumkan, burung kakak tua antara spesies paling kerap diseludup untuk dijadikan haiwan peliharaan eksotik dan koleksi peribadi.
Pengawal kastam Lapangan Terbang Lagos, Michael Awe, berkata burung-burung tersebut tidak disertakan dengan permit CITES dan dokumen sokongan lain yang membuktikan pemilikan sah.
"Tiada penghantaran haram yang akan terlepas daripada pemerhatian saya di lapangan terbang kerana pegawai-pegawai saya sentiasa berwaspada dan bersedia mengesan serta menggagalkan cubaan penyeludupan," katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti dalang di sebalik penghantaran haram itu, dan semua burung akan diserahkan kepada Perkhidmatan Taman Negara Nigeria.- REUTERS