SANYA, 6 Ogos – Sekumpulan saintis menemui hidupan laut yang menakjubkan – sepsies bukan bergantung kepada bahan organik seperti kebanyakan hidupan, tetapi hidup dengan menukar bahan kimia kepada tenaga - di dua jurang barat laut Lautan Pasifik.
Spesies berkenaan berasaskan kemosintesis – didominasi cacing tiub dan kerang – ditemui semasa beberapa siri selaman menggunakan kapal selam ke dasar jurang Kuril-Kamchatka dan jurang Aleutian.
Hidupan itu mendapat nutrien daripada cecair yang kaya dengan hidrogen sulfida dan metana yang meresap keluar dari dasar laut, di kawasan gelap dan sejuk yang langsung tidak menerima cahaya matahari.
Pakar geokimia marin dari Institut Sains dan Kejuruteraan Laut Dalam (IDSSE) bawah Akademi Sains China, Mengran Du, menyifatkan penemuan itu sesuatu yang mengagumkan.
"Pada awalnya saya beranggapan ia mustahil dan tidak percaya, tetapi ini adalah suatu penemuan yang menakjubkan," kata Du, salah seorang penulis kajian yang diterbitkan pada 30 Julai dalam jurnal Nature.
Ekosistem itu ditemui pada kedalaman melebihi ketinggian Gunung Everest, puncak tertinggi di dunia. Lokasi paling dalam ialah sedalam 9,533 meter di dasar jurang Kuril-Kamchatka – hampir 25 peratus lebih dalam berbanding rekod terdahulu bagi habitat haiwan seumpamanya.
"Apa yang menakjubkan ialah cara hidupan ini menyesuaikan diri dengan persekitaran ekstrem – pasti ada mekanisme khas yang membolehkan mereka bertahan dalam tekanan yang sangat tinggi," kata Du.- REUTERS