BEIJING, 6 Ogos – Pakar penyakit berjangkit memberi amaran bahawa virus chikungunya dijangka terus menular di wilayah selatan China selepas musim banjir. Ia susulan hujan lebat berpanjangan yang meningkatkan aktiviti nyamuk pembawa penyakit.
Chikungunya disebarkan nyamuk Aedes dan tidak mempunyai rawatan khusus. Antara gejalanya termasuk demam dan sakit sendi yang teruk, walaupun kematian jarang berlaku.
Beberapa bahagian di selatan China baru-baru ini mengalami hujan lebat terburuk dalam tempoh satu abad, sekali gus mewujudkan takungan air yang akan menjadi habitat pembiakan nyamuk.
Menurut Pakar Penyakit Berjangkit Dr. Leong Hoe Nam, nyamuk hanya memerlukan sedikit air bersih bersaiz duit syiling untuk membiak.
"Ia mempunyai gejala seperti demam denggi, tetapi dengan sakit sendi yang lebih teruk. Itulah simptom utamanya. Nyamuk yang dijangkiti virus tersebut lebih mudah menyebarkan penyakit itu.
"Gejalanya muncul beberapa hari kemudian – demam, sakit kepala, sakit otot seperti denggi. Tetapi sakit sendi itu sangat ketara, boleh berlaku di mana-mana bahagian sendi, termasuk sendi kecil di tangan, dan boleh berpanjangan," katanya.
Kota Foshan, yang terletak di barat Guangzhou, dikenal pasti sebagai pusat penularan wabak chikungunya manakala sekurang-kurangnya lebih 10 bandar lain turut melaporkan jangkitan.
Timbalan Pengarah Program Penyakit Berjangkit di sebuah sekolah perubatan Dr. Ooi Eng Eong berkata, peningkatan pergerakan antarabangsa turut dikenal pasti sebagai salah satu faktor utama penyebaran virus.
"Pendorong sebenar wabak seperti chikungunya ialah pergerakan pelancong. Ini kerana tidak semua individu yang dijangkiti akan menunjukkan simptom. Anda mungkin kelihatan sihat, tetapi membawa virus.
"Dengan peningkatan kadar pergerakan antara negara dan benua, seseorang boleh dijangkiti di Amerika Latin dan menaiki kapal terbang ke destinasi lain sambil membawa virus tersebut.
"Apabila tiba dan digigit nyamuk tempatan, virus boleh dipindahkan yang kemudiannya menyebarkannya kepada penduduk tempatan yang tidak pernah keluar dari kawasan itu. Kemungkinan inilah cara virus chikungunya memasuki China," katanya.
Turut diramalkan sepanjang Ogos ini, dua hingga tiga taufan akan melanda rantau tersebut. Pihak berkuasa wilayah menjangkakan beberapa minggu mendatang akan menjadi lebih mencabar dari segi pencegahan penyakit dan kawalan nyamuk.- REUTERS