fb fb fb fb fb

Kebuluran terus ragut nyawa kanak-kanak di Gaza

Meriem, dia mengalami kebuluran akut dijaga ibunya/ REUTERS

GAZA, 6 Ogos – Kebuluran semakin mencengkam Gaza, dengan peningkatan kematian kanak-kanak akibat kekurangan zat makanan yang ketara dalam beberapa bulan kebelakangan ini, menurut Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF).

Salah seorangnya, Meriem, dia mengalami kebuluran akut. Tubuhnya menyusut hingga menonjolkan rangka, dengan tulang yang terbonjol keluar

Menurut ibunya, dia kini hanya mampu pasrah dan sering memikirkan nasib anaknya yang tidak pasti.

"Saya hanya takut satu perkara, kehilangan anak saya. Dia selalu cakap, ‘Maafkan saya, ibu!’ dan saya takut setiap kali dia bernafas, itu mungkin yang terakhir. Saya hanya berdoa untuk melihat dia sihat kembali seperti dahulu," kata ibu Meriem.

Pada bulan Jun sahaja, seramai 6,500 kanak-kanak dimasukkan ke pusat rawatan akibat kekurangan zat makanan – angka tertinggi sejak konflik bermula. Julai pula menunjukkan trend yang lebih membimbangkan, dengan 5,000 kanak-kanak dimasukkan hanya dalam dua minggu pertama, menurut UNICEF.

"Apabila kebuluran semakin teruk, keadaan Meriem juga semakin merosot. Bila dia minta makanan, kadang-kadang memang tiada langsung, atau saya tak mampu beli sebab saya tiada pendapatan. Serangan masih berlarutan, dan makanan tak boleh masuk kerana lintasan sempadan ditutup," kata ibu Meriem.

Konvoi bantuan dan penghantaran udara dari negara-negara Arab dan Eropah disambung semula pada akhir Julai, namun pakar Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa krisis kebuluran masih berterusan di wilayah berkenaan.

"Penduduk Gaza menderita setiap hari di kawasan perlindungan sementara, hidup dalam khemah yang tidak sesuai untuk musim panas mahupun musim sejuk.

"Ditambah pula dengan kekurangan zat makanan yang teruk – langsung tiada buah-buahan, sayur-sayuran atau protein. Keadaan kemanusiaan di Gaza amat teruk," kata seorang penduduk Gaza.

Menurut kemas kini daripada pihak berkuasa kesihatan di Gaza pada Selasa, jumlah korban akibat serangan Israel kini meningkat kepada 61,020 orang. Jumlah kematian berkaitan kebuluran pula mencecah 188 orang sejak perang bermula, termasuk 94 kanak-kanak.- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI