SEOUL, 6 Ogos – Amerika Syarikat (AS) dan Korea Selatan melakukan latihan bersama, termasuk latihan pendaratan amfibia sebagai usaha meningkatkan keupayaan operasi ketenteraan.
Angkatan Tentera Korea Selatan dalam satu kenyataan memaklumkan, anggota tentera dari kedua-dua negara melaksanakan beberapa siri latihan termasuk penyusupan bantuan dron, serta latihan berkaitan ancaman kimia, biologi dan radiologi.
Latihan berlangsung dari pertengahan Julai hingga Ogos itu melibatkan seramai 2,500 anggota, termasuk 1,500 Kor Marin Amerika Syarikat yang berpangkalan di Okinawa, Jepun. Ia turut melibatkan beberapa bandar di Korea Selatan termasuk Pohang.
Amerika Syarikat kini menempatkan kira-kira 28,500 anggota tenteranya di Korea Selatan sebagai sebahagian daripada usaha mengekang ancaman daripada Korea Utara.
Pegawai Pemerintah Batalion Ke-2 Kor Marin Amerika Syarikat, Davis B. Gooding berkata, latihan yang dilakukan kedua-dua negara akan mengukuhkan kerjasama keselamatan.
"Pertama sekali, Kor Marin Amerika Syarikat ingin mengukuhkan lagi ikatan pakatan antara Korea Selatan dan Amerika Syarikat," katanya.
Sementara itu Komander Batalion ke-23 Korea Selatan, Leftenan Kolonel Woo Seung-ki pula memaklumkan, ia merupakan peluang kedua-dua negara bertukar kemahiran tempur dalam pengoperasian.
"Latihan ini, yang menyaksikan pertukaran kemahiran tempur antara satu sama lain. Ini merupakan peluang yang sangat berharga untuk semua anggota dan menaikkan semangat," katanya.
Latihan bersama itu sekali gus memperkukuh hubungan keselamatan antara Seoul dan Washington di tengah-tengah ketegangan serantau.- REUTERS