fb fb fb fb fb

Lebih 750,000 pekerja Kemboja pulang dari Thailand susulan perbalahan sempadan

Kepulangan besar-besaran pekerja bersama keluarga masing-masing melalui pos sempadan Ban Laem-Daung yang menghubungkan wilayah Chanthaburi di timur Thailand dan Battambang di Kemboja/ REUTERS

PHNOM PENH, 6 Ogos – Lebih 750,000 pekerja Kemboja dilaporkan pulang dari Thailand berikutan pertempuran di sempadan antara kedua-dua negara sejak pertempuran pada 24 Julai lalu.

Pegawai Kementerian Buruh Kemboja berkata, kedua-dua negara sebelum ini bersetuju melaksanakan gencatan senjata bermula Selasa lalu selepas lima hari pertempuran meragut sekurang-kurangnya 43 nyawa di kedua-dua pihak.

Konflik tercetus akibat pertikaian melibatkan sempadan darat yang dipertikaikan di sepanjang 800 kilometer.

Kepulangan besar-besaran pekerja bersama keluarga masing-masing dapat dilihat melalui pos sempadan Ban Laem-Daung yang menghubungkan wilayah Chanthaburi di timur Thailand dan Battambang di Kemboja pada Rabu.

Kebanyakan mereka dilihat membawa barangan peribadi seperti beg pakaian, beg galas, beg berat, selimut dan kipas elektrik, sambil berjalan kaki melintasi sempadan.

Jurucakap Kementerian Buruh Kemboja, Sun Mesa memaklumkan, warga Kemboja termasuk kanak-kanak telah pulang sejak pertempuran itu.

"Mereka berasa tidak selamat dan takut berada di Thailand. Ada juga pekerja migran yang diserang 'kumpulan samseng'," katanya.

Media tempatan Thailand memetik kenyataan Ketua Persatuan Perdagangan dan Pelancongan Sempadan Thai-Kemboja di Chanthaburi menyatakan lebih 200,000 warga Kemboja telah kembali ke negara asal.

Menurut laman Facebook persatuan itu, kira-kira 20,000 individu menyeberangi sempadan pada Selasa dan dianggarkan 30,000 lagi akan menyeberang pada Rabu.

Sun Mesa turut menyatakan bahawa terdapat kira-kira 1.2 juta warga Kemboja yang menetap dan bekerja di Thailand.

Sementara itu, jurucakap Kementerian Pertahanan Kemboja, Maly Socheata, memaklumkan keadaan di sempadan kini tenang namun pasukan keselamatan berada dalam keadaan berjaga-jaga.

Pegawai dari kedua-dua negara juga telah memulakan rundingan di Malaysia sejak Isnin dalam usaha meredakan ketegangan di sempadan.

Lebih 300,000 penduduk dilaporkan melarikan diri dari kediaman masing-masing ketika kedua-dua negara berbalas serangan di kawasan sempadan.– AFP

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI