fb fb fb fb fb

Gelombang haba, penduduk dan pelancong Madrid keluar riadah awal pagi

Penduduk dan pelancong di Madrid melakukan riadah pada awal pagi bagi mengelakkan cuaca panas ekstrem/ REUTERS

MADRID, 6 Ogos – Ketika gelombang haba terus melanda Sepanyol dan Portugal, penduduk serta pelancong di Madrid mengambil peluang keluar seawal pagi untuk bersenam di Taman Retirobagi mengelak suhu panas yang mencecah paras ekstrem.

Suhu dijangka mencecah 37 darjah Celsius pada sebelah petang, jadi Beatriz Tajuelo memilih untuk beriadah ketika awal pagi kerana suhu masih sejuk.

"Ini masa yang paling sesuai untuk melakukan larian dan bersukan kerana cuaca masih dingin," katanya.

Fenomena cuaca panas dijangka berterusan sehingga sekurang-kurangnya pada Ahad (10 sekali gus memaksa penduduk dan pelawat menyesuaikan rutin harian mereka untuk mengelak cuaca panas.

"Kami keluar untuk bersenam seawal pukul lima pagi kerana selepas matahari terbit, cuaca jadi tidak tertanggung. Haba yang sangat panas ini menyebabkan dehidrasi dengan cepat dan meletihkan, memang mustahil untuk bersukan," kata pelancong dari Ecuador Alexandra Lombeda, 45 tahun.

Kawasan Mediterranean sememangnya sinonim dengan musim panas dan kering, namun gelombang haba yang lebih ekstrem kebelakangan ini menyumbang kepada peningkatan kebakaran hutan di rantau itu.

Pada Jun, Sepanyol dan Portugal turut mencatatkan bulan paling panas dalam rekod sejarah.

Sementara itu pelancong dari Mexico City Juan Jose Solorio, 71 berkata, dia memilih kawasan yang banyak pokok bagi mengelakkan daripada cuaca panas.

"Saya memang gemar bersukan, di Taman Retiro memang indah – sesuai untuk penduduk tempatan dan pelawat. Pokoknya banyak dan pada hari panas begini, ia menjadi tempat terbaik untuk mengelak daripada suhu tinggi di Madrid," katanya.

Seorang penduduk Madrid, Alvaro Ibanez, 65, pula berkata, dia akan keluar rumah pada awal pagi untuk melakukan riadah.

"Saya keluar rumah sekitar pukul 7.00 pagi untuk membawa anjing berjalan-jalan sebelum ke gimnasium pada pukul 8.00. Sekiranya lewat, cuaca akan menjadi terlalu panas," katanya.

Menurut Beatriz Tajuelo, 46, dia memang memilih bersenam pada waktu pagi kerana ia lebih menyegarkan.

"Saya keluar sekitar pukul 6.30 pagi. Ini masa paling sesuai kerana suhu masih rendah. Menarik bila datang dari kawasan bandar ke taman dan rasai perbezaan suhunya. Berjalan atau berlari pada waktu begini memang menyegarkan," katanya.

Gelombang haba yang melanda kini bukan sahaja mengubah rutin harian penduduk di Madrid, malah ia turut memberi impak di seluruh dunia.- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI