fb fb fb fb fb

Krisis air semakin parah di Gaza, penduduk ambil masa lama dapatkan bantuan

Kanak-kanak membantu keluarga masing-masing untuk mendapatkan bantuan air minuman dan air untuk kegunaan harian/ REUTERS

GAZA, 6 Ogos – Ramai penduduk Gaza terpaksa meredah kawasan yang musnah dan berjalan jauh setiap hari untuk mendapatkan bekalan air minuman dan kegunaan harian.

Menurut agensi bantuan kemanusiaan, ketika perhatian dunia tertumpu kepada kebuluran yang semakin kritikal di Gaza susulan kempen ketenteraan Israel yang telah berlarutan selama 22 bulan, krisis air di wilayah itu juga dilaporkan berada pada tahap membimbangkan.

Sebahagian kecil bekalan air diperoleh daripada unit berskala kecil yang dikendalikan agensi bantuan, namun bantuan air diperoleh dari telaga.

Namun ia turut tercemar akibat kebocoran kumbahan dan bahan kimia dari runtuhan bangunan, sekali gus meningkatkan penularan penyakit seperti cirit-birit dan hepatitis.

Israel telah menghentikan sepenuhnya bekalan air dan elektrik ke Gaza pada awal perang. Kerosakan pada infrastruktur terus menghalang bekalan masuk ke wilayah itu, menurut pegawai di Gaza.

Sebahagian besar infrastruktur air dan sanitasi telah musnah, dan pam yang menyalurkan air dari akuifer kini bergantung kepada penjana kecil yang sukar beroperasi kerana kekurangan bahan api.

Bekas pelajar universiti Moaz Mukhaimar, 23 berkata, dia perlu berjalan hampir satu kilometer dan beratur selama dua jam untuk mengambil air. Dia lazimnya melakukan rutin ini tiga kali sehari, menarik air menggunakan troli kecil melalui kawasan tidak berturap.

"Berapa lama lagi kami perlu terus hidup begini? Kami memerlukan air bersih untuk minum dan melakukan aktiviti lain," katanya sambil membawa dua tong besar berisi air payau untuk mencuci dan dua tong kecil berisi air bersih untuk diminum.

Ibunya, Umm Moaz, 53, menjelaskan air yang dibawa anaknya itu diperlukan untuk keperluan keluarga besar mereka seramai 20 orang yang tinggal dalam deretan khemah kecil di Deir al-Balah, Gaza Tengah.

"Anak-anak sentiasa kehausan, cuaca pula panas. Mereka mahu minum setiap masa. Kami tak pasti jika esok kami masih dapat mengisi air lagi," katanya.

Kesukaran mendapatkan air dialami hampir semua penduduk Gaza yang kini hidup di tempat perlindungan sementara atau khemah tanpa kemudahan kumbahan mahupun kebersihan asas.

Di lokasi itu juga tidak mempunyai bekalan air yang mencukupi untuk diminum, memasak atau mencuci — sekali gus mempercepat penularan penyakit.

Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan bahawa tahap minimum kecemasan penggunaan air ialah 15 liter sehari bagi setiap individu untuk tujuan minum, memasak dan kebersihan.

"Standard minimum kecemasan ialah 15 liter sehari. Tetapi kita di Gaza masih tiga hingga lima kali ganda kurang daripada standard minimum yang ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO)," kata Ketua Polisi Kemanusiaan Oxfam bagi wilayah Palestin Bushra Khalidi.

Menurut Oxfam minggu lalu, penyakit bawaan air yang boleh dicegah dan dirawat kini merebak dengan pantas di Gaza, dengan kadar kes dilaporkan meningkat hampir 150 peratus dalam tempoh tiga bulan lalu.

"Situasi ini benar-benar bencana. Kita menyaksikan infrastruktur air dan sanitasi (WASH) dimusnahkan secara sistematik, dan ia berlaku di depan mata kita," kata pegawai global sektor air dan sanitasi bagi Majlis Pelarian Norway (NRC), Danish Malik.

Ramai penduduk Gaza, perlu beratur dan mengangkut air yang mengambil masa berjam-jam setiap hari — kadangkala menimbulkan perbalahan antara penduduk yang beratur.

Kerja mengangkut air ini sering digalas kanak-kanak kerana ibu bapa mereka sibuk mencari makanan atau keperluan lain.

Disebabkan kesukaran mendapatkan air, ramai yang tinggal berdekatan pantai memilih untuk mandi di laut.

Sebuah projek pembinaan paip air baharu yang dibiayai Emiriah Arab Bersatu sedang dirancang, dijangka dapat membekalkan air bersih kepada 600,000 individu di selatan Gaza daripada loji penyahgaraman di Mesir. Namun, sambungan paip itu dijangka mengambil masa beberapa minggu lagi.

Bagaimanapun, agensi bantuan menegaskan lebih banyak usaha diperlukan. Menurut Malik hasil penilaian WASH terkini menunjukkan bahawa 96 peratus isi rumah di Gaza kini menghadapi ketidakjaminan air pada tahap sederhana hingga serius.- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI