fb fb fb fb fb

Great Barrier Reef alami kemerosotan terburuk dalam tempoh hampir 4 dekad

Terumbu karang terbesar di dunia Great Barrier Reef di Australia/ REUTERS

QUEENSLAND, 6 Ogos – Terumbu karang terbesar di dunia Great Barrier Reef di Australia mencatatkan kemerosotan paling besar susulan kejadian pelunturan besar-besaran di dua daripada tiga wilayahnya dalam tempoh setahun lalu.

Terumbu karang sepanjang kira-kira 2,400 kilometer di pesisir negeri Queensland di utara Australia berkurang antara satu perempat hingga satu pertiga selepas beberapa tahun sekali gus mencatatkan pertumbuhan memberangsangkan.

Program Pemantauan Ekologi Terumbu Karang Jangka Panjang Institut Sains Marin Australia, Daniela Ceccarelli berkata, kemerosotan pelunturan terumbu karang itu didorong gellombang haba laut global.

"Ia bermula di Caribbean pada 2023 dan melanda Great Barrier Reef pada Februari dan Mac 2024. Kejadian pelunturan ini memberi kesan sangat serius terhadap terumbu karang hidup di Great Barrier Reef, menyebabkan banyak karang mati. Oleh itu, tahap kelangsungan karang hidup berkurang secara mendadak.

"Di kawasan utara Great Barrier Reef, sebanyak 25 peratus liputan karang tahun lalu telah hilang. Di kawasan tengah, keadaannya sedikit lebih baik dengan penurunan 14 peratus.

"Namun di kawasan selatan, kita menyaksikan kehilangan sebanyak 30 peratus liputan karang tinggi tahun lalu. Justeru, di kawasan utara dan selatan, ini merupakan kemerosotan terbesar yang pernah direkodkan dalam 39 tahun pemantauan tahunan," katanya.

Institut Sains Marin Australia (AIMS) dalam laporannya memaklumkan bahawa terumbu karang di kawasan utara dan selatan mengalami kemerosotan tahunan terbesar sejak pemantauan dimulakan 39 tahun lalu.

Sejak 2016, Great Barrier Reef mengalami lima musim panas yang menyaksikan pelunturan karang secara besar-besaran — keadaan apabila karang menjadi putih akibat tekanan haba, menjadikan ia lebih terdedah kepada kematian karang.

Kejadian pelunturan pada tahun 2024 mempunyai kesan paling meluas pernah direkodkan, dengan pelunturan dari tahap tinggi ke ekstrem meliputi ketiga-tiga wilayah terumbu tersebut.

Walaupun Great Barrier Reef belum disenaraikan sebagai tapak warisan dunia yang berisiko dari Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNESCO), namun Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) mengesyorkan agar ia dimasukkan ke dalam senarai tersebut.

Australia bagaimanapun mahu lokasi itu dikecualikan daripada senarai berisiko, memandangkan ia menyumbang sekitar A$6.4 bilion (US$4.2 bilion) kepada ekonomi negara setiap tahun, terutamanya melalui sektor pelancongan.- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI