UTTARAKHAND, 6 Ogos – Puluhan penduduk masih hilang susulan hujan lebat yang mencetuskan kejadian tanah runtuh dan banjir kilat di negeri pergunungan Himalaya, Uttarakhand pada Rabu.
Jalan-jalan utama di kampung Bhatwari dalam daerah Uttarkashi - sebuah lokasi pelancongan popular terletak kira-kira 49 kilometer di selatan kampung Dharali - turut terjejas akibat runtuhan batu-batu besar.
Ketua Menteri Uttarakhand, Pushkar Singh Dhami berkata, operasi mencari dan menyelamat giat dijalankan di lokasi kejadian.
"Seramai kira-kira 130 orang berjaya diselamatkan malam tadi. Namun, keadaan cuaca yang buruk menyebabkan banyak jalan terputus hubungan dan beberapa jambatan rosak. Keadaan ini menyukarkan usaha untuk sampai ke lokasi terjejas," katanya.
Semalam pegawai tempatan melaporkan bahawa empat individu disahkan meninggal dunia akibat kejadian itu.
Anggota penyelamat dan pasukan keselamatan melakukan penilaian kerosakan serta mengendalikan jentera berat untuk menjalankan kerja-kerja pembersihan runtuhan di kawasan terjejas.
Uttarakhand sering dilanda banjir dan tanah runtuh, yang menurut sesetengah pakar ia terkesan daripada perubahan iklim dunia.- REUTERS