fb fb fb fb fb

Banjir selatan China, operasi pembersihan dipergiat

Foto AFP

GUANGDONG, 6 Ogos – Pasukan penyelamat bertungkus-lumus membersihkan serpihan dan jalan raya yang ditenggelami air, ketika selatan China bersiap sedia menghadapi hujan lebat lebih ekstrem serta risiko penularan penyakit.

Ia merupakan antara hujan lebat terburuk abad ini semasa kemuncak musim monsun Asia Timur.

Media tempatan melaporkan, pasukan penyelamat di wilayah Guangdong, giat membuka laluan saliran dan mengepam air keluar dari kawasan bandar.

Hujan lebat luar biasa itu turut mencetuskan tanah runtuh dan menumbangkan banyak pokok di lebuh raya, selain merosakkan permukaan jalan dan menjejaskan kabel serta infrastruktur bawah tanah.

Rakaman video pada Isnin lalu menunjukkan keadaan banjir yang teruk di Guangdong, dengan kenderaan hampir tenggelam sepenuhnya di jalan yang dinaiki air, manakala petugas kecemasan dilihat menyelamatkan mangsa yang terperangkap.

Reuters mengesahkan lokasi rakaman berdasarkan susun atur jalan, struktur bangunan dan papan tanda perniagaan yang sepadan dengan imej arkib serta imej satelit. Tarikh rakaman turut disahkan oleh pegawai kecemasan.-REUTERS

ROSLINA BINTI DIN