MADRID, 6 Ogos – Pasukan kecemasan telah dikerahkan untuk memadam kebakaran hutan yang melanda kawasan barat laut dan selatan Sepanyol.
Pihak berkuasa bertungkus lumus melindungi kawasan kediaman bagi mengurangkan kemusnahan akibat kebakaran itu.
Menurut pegawai tempatan, di Tarifa, sebuah bandar pesisir di selatan Sepanyol, lebih 100 anggota kecemasan digerakkan untuk mengawal kebakaran berhampiran kawasan perumahan, tapak perkhemahan dan hotel.
Pusat perlindungan sementara telah didirikan bagi menempatkan penduduk yang dipindahkan, manakala usaha pemadaman memberi tumpuan kepada bahagian selatan kawasan yang terjejas.
Sementara itu, di bandar Ponteceso di utara, pihak berkuasa sedang memadam kebakaran yang telah memusnahkan sekurang-kurangnya 170 hektar hutan, menurut kenyataan kerajaan wilayah Galicia.
Pemilik Tapak Perkhemahan Terbakar, Diego Rodriguez berkata, dia bergegas menyelamakan diri apabila diarahkan pihak keselamatan.
"Saya terpaksa keluarkan dua treler karavan dari sini kerana api menyala semula walaupun kawasan ini sudah pun terbakar. Selepas pihak berkuasa arahkan kami keluar, kami kembali semula dan sempat selamatkan karavan. Kalau tidak, kami akan kehilangan kenderaan itu.
Diego Rodriguez turut memaklumkan bahawa barangan peribadinya musnah akibat kebakaran tersebut.
Sementara itu seorang pelancong yang ditemui berkata, kejadian itu berlaku dengan pantas.
"Kami sedang bersantai di pantai kemudian tiba-tiba terlihat kepulan asap hitam. Asap mula naik akibat tiupan kuat angin. Kurang beberapa jam sahaja hutan di kawasan tersebut terbakar," katanya.- REUTERS