SEOUL, 15 November- Mahkamah Korea Selatan mensabitkan kesalahan ke atas pemimpin utama parti pembangkang Lee Jae-myung kerana melanggar undang-undang pilihan raya.
Lee dijatuhkan hukuman penjara setahun digantung selama dua tahun. Ia merupakan penalti yang jika dikekalkan boleh menjejaskan usahanya untuk bertanding jawatan Presiden korea Selatan pada 2027.
Namun Lee memaklumkan, beliau akan merayu.
"Saya akan merayu. Bermula dengan fakta asas, ia adalah satu keputusan yang sukar diterima", katanya.
Jika rayuannya gagal dan hukuman penjara muktamad, Lee akan dilucutkan daripada kerusi parlimen dan kelayakannya untuk bertanding dalam mana-mana pilihan raya dalam tempoh lima tahun akan datang.
Lee, ketua pembangkang utama Parti Demokrat, kalah tipis kepada Presiden Korea Selatan Yoon Suk Yeol pada pilihan raya 2022.
Beliau menghadapi sekurang-kurangnya empat perbicaraan selepas didakwa atas beberapa pertuduhan jenayah termasuk rasuah.
Lee didapati bersalah melanggar undang-undang pilihan raya dengan membuat tuntutan palsu semasa audit parlimen pada 2021 semasa bertanding sebagai calon presiden.
Ia mengenai projek pembangunan tanah di Seongnam ketika berkhidmat sebagai datuk bandar, kata mahkamah.
Mahkamah Daerah Pusat Seoul dalam satu kenyataan memaklumkan, penyebaran maklumat palsu semasa proses pilihan raya menghalang pengundi daripada membuat pilihan tepat.
Pendakwa raya telah memohon hukuman penjara dua tahun, walaupun beliau berdepan hukuman gantung.
Bagaimanapun Lee tetap berusaha untuk bertanding dalam pilihan raya presiden pada 2027.
Pada Januari lalu Lee ditikam di bahagian leher namun terselamat dan telah menjalani pembedahan berikutan kejadian itu.
Partinya memperoleh kemenangan besar dalam pilihan raya parlimen pada April berikutan kejadian itu sekali gus memberikan persaingan sengit terhadap Yoon dan parti pemerintahnya.
Penyokong Lee turut melaungkan namanya semasa beliau tiba di Mahkamah.
Namun sebelum meninggalkan mahkamah, Lee membuat kenyataan ringkas berkenaan rayuan yang akan dilakukan.
Lee menghadapi satu lagi perbicaraan hukuman pada hujung November atas pertuduhan bersubahat dan pihaknya menuduh pihak pendakwa cuba meneruskan kes bermotifkan politik terhadapnya.- REUTERS