fb fb fb fb fb

Lebuh raya di selatan China runtuh, 19 maut

Tangkap layar video tular di media sosial yang memaparkan kepulan asap daripada longgokan kereta dalam sebuah lubang akibat runtuhan lebuh raya di selatan China

BEIJING, 1 Mei- Sekurang-kurangnya 19 orang maut apabila sebahagian lebuh raya di wilayah Guangdong, selatan China runtuh, awal pagi tadi.

Menurut penyiar negeri, CCTV, jalan raya yang menghubungkan bandar Meizhou dan daerah Dabu itu runtuh sekitar pukul 2.10 pagi.

Kejadian itu menyebabkan 18 kenderaan terperangkap dan melibatkan seramai 49 orang.

"Sehingga pukul 11.45 pagi ini, seramai 19 orang disahkan meninggal dunia dan 30 sedang menerima rawatan kecemasan di hospital," lapor CCTV.

Ia menambah bahawa mangsa yang dirawat di hospital tidak kritikal, namun tidak memperincikan tahap kecederaan mereka.

Usaha menyelamat di lokasi kejadian melibatkan kira-kira 500 anggota, manakala lebuh raya itu ditutup kepada semua kenderaan kecuali pihak berkuasa.

Rakaman menerusi media sosial menunjukkan asap daripada longgokan kenderaan yang remuk di sebuah lubang berlumpur.

Klip lain yang dirakam sebelum subuh pula menunjukkan api terpancar dari lubang tersebut.

Punca kejadian masih disiasat.

Sejak beberapa minggu kebelakangan ini, Guangdong dilanda bencana alam dengan kematian dicatatkan di beberapa kawasan yang dilanda banjir susulan hujan lebat.

Bandar di wilayah itu turut dilanda puting beliung yang mengorbankan lima orang, minggu lalu. -AFP

SITI AISHAH MD ISA