fb fb fb fb fb

Roller coaster di Jepun tiba-tiba terhenti pada ketinggian 40 meter

FOTO REUTERS

HOKKAIDO, 1 Mei- Sebuah roller coaster yang dinaiki 18 penunggang berhenti secara tiba-tiba pada ketinggian lebih 40 meter (m) di Rusutsu Resort dekat sini, Jepun pada Isnin lepas.

Menurut taman hiburan itu, fungsi keselamatan diaktifkan segera dalam kejadian sekitar pukul 2.00 petang.

Difahamkan, penunggang permainan berkenaan terpaksa menunggu selama kira-kira 10 minit sebelum diselamatkan.

"Ia tiba-tiba terhenti sebelum sampai di puncak. Anak saya kemudian menjadi takut dan mula menangis. Kami terpaksa menunggu dalam roller coaster yang berhenti selama kira-kira 10 minit," kata seorang penunggang yang tidak mahu namanya didedahkan.

Laman web rasmi taman hiburan terbabit memaklumkan landasan roller coaster itu memiliki ketinggian sehingga 46m dengan penunggang dapat menikmati keseronokan pada kelajuan 90 kilometer sejam (km/j).

Ia turut melaporkan bahawa roller coaster tersebut berada dalam keadaan baik ketika pemeriksaan rutin pada pagi hari kejadian.

Bagaimanapun, roller coaster itu pernah terhenti secara tiba-tiba pada Ogos 2018 dan siasatan mendapati insiden tersebut berpunca daripada masalah brek dan sistem elektriknya. -Reuters

SITI AISHAH MD ISA