fb fb fb fb fb

Lebih separuh kanak-kanak di Ukraine menjadi pelarian

(Pelarian Ukraine baru tiba di Lapangan Terbang Zurich pada 22 Mac 2022/AFP)

GENEVA, 24 Mac- Lebih separuh daripada jumlah keseluruhan kanak-kanak di Ukraine dipindahkan atau meninggalkan kediaman sejak pencerobohan tentera Rusia pada Februari lalu.

“Selama sebulan perang di Ukraine menyebabkan sebanyak 4.3 juta kanak-kanak kehilangan tempat tinggal – lebih separuh daripada anggaran 7.5 juta penduduk kanak-kanak di negara itu, kata Ketua Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNICEF), Catherine Russell.

Kanak-kanak yang dipindahkan menyumbang hampir separuh daripada lebih 10 juta penduduk yang terpaksa meninggalkan kediaman sejak pencerobohan bermula pada 24 Februari lalu.

Lebih 1.8 juta kanak-kanak telah meninggalkan Ukraine sebagai pelarian, manakala 2.5 juta lagi kini tiada tempat tinggal meskipun berada di negara sendiri akibat perang, jelas agensi PBB itu.

“Perang menyebabkan pemindahan kanak-kanak berskala besar akibat kehilangan tempat tinggal dan ia berlaku amat pantas selepas peristiwa Perang Dunia II," kata Russell.

Russell turut memberi amaran "ini adalah satu perkembangan mengerikan yang boleh membawa kesan kekal untuk generasi akan datang."

“Keselamatan kanak-kanak, kesejahteraan dan akses kepada keperluan asas terancam kesan keganasan berterusan.”

Kenyataan itu dikeluarkan selepas sebulan tentera Rusia menceroboh sempadan lantas mencetuskan konflik yang sudah menyebabkan ribuan penduduk awam Ukraine terbunuh.  

PBB telah mengesahkan sebanyak 81 kanak-kanak terbunuh dan 108 orang lagi cedera serta memperakui bahawa angka sebenar jauh lebih tinggi.

Organiasi dunia itu turut mengecam bahawa konflik telah menyebabkan kesan buruk kepada infrastruktur awam serta akses perkhidmatan asas.


(Seorang kanak-kanak sedang berjalan di hadapan bangunan sebuah sekolah
yang musnah di bandar Zhytomyr, utara Ukraine. 23 Mac 2022/AFP)

-KEMUSNAHAN SERIUS-

Pertubuhan Kesihatan Sedunia mengesahkan sebanyak 64 serangan disasarkan ke kemudahan kesihatan termasuk hospital, klinik dan ambulans sejak pencerobohan bermula.

Manakala Kementerian Pendidikan Ukraine melaporkan lebih 500 buah sekolah musnah termasuk beberapa kemudahan pendidikan lain, menurut laporan UNICEF.

Agensi kanak-kanak PBB itu menganggarkan 1.4 juta orang berdepan akses amat terhad bagi mendapatkan bekalan air bersih, manakala 4.6 juta penduduk pula berisiko terputus bekalan.

“Lebih 450,000 kanak-kanak berumur enam hingga 23 bulan memerlukan bantuan makanan tambahan (berkhasiat),” kata pertubuhan itu.

UNICEF turut memberi amaran berdasarkan pemantauan semasa berlaku pengurangan dalam program imunisasi rutin untuk kanak-kanak termasuk penyakit campak dan polio. -AFP

Media Baharu