fb fb fb fb fb

Korea Utara uji peluru berpandu ICBM paling berkuasa, jatuh di EEZ Jepun

(Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un menyampaikan ucapan menerusi televisyen
sehari selepas pelancaran ICBM pada 24 Mac 2022/Fail AFP)

TOKYO, 24 Mac- Korea Utara dipercayai melancarkan ujian terbaharu, peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) terbaharu pada petang ini dan dilaporkan jatuh dalam kawasan Zon Ekonomi Ekslusif (EEZ) Jepun, pantai barat negara itu.

“Analisis semasa kami mendapati peluru berpandu balistik itu terbang selama 71 minit kira-kira 1544 (0644 GMT) waktu tempatan dan jatuh di perairan Zon Ekonomi Ekslusif (EEZ) Laut Jepun kira-kira 150 kilometer ke barat Semenanjung Oshima di Hokkaido," kata Menteri Pertahanan Jepun, Makoto Oniki.

“Memandangkan peluru berpandu balistik kali ini meluncur pada ketinggian lebih 6,000 kilometer, jauh lebih tinggi daripada ICBM Hwasong-15 yang dilancarkan pada November 2017, pelancaran hari ini dipercayai ICBM baharu,” tambahnya.

Katanya, pihak kementerian setakat ini belum menerima sebarang laporan kerosakan atau kemusnahan melibatkan kapal atau pesawat dan menyifatkan ujian itu sebagai “ancaman serius” kepada keselamatan Jepun.

“Ketika dunia berdepan isu pencerobohan tentera Rusia di Ukraine, Korea Utara terus melancarkan ujian (peluru berpandu) yang secara unilateral menjengkelkan provokasi terhadap masyarakat antarabangsa, perkara yang tidak boleh dimaafkan,” kata Oniki.


(Ujian peluru berpandu jenis baharu yang dilancarkan dari kapal selam pada
19 Oktober 2021 yang dikeluarkan Agensi Berita Pusat Korea/Fail AFP)

Dalam perkembangan sama, Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in berkata pelancaran itu adalah yang pertama seumpamanya; Pyongyang melakukan ujian senjata paling berkuasa sejak 2017.

ICBM terbaharu itu adalah belasan ujian senjata dilakukan Korea Utara sejak awal tahun ini sekali gus menamatkan moratorioum ujian senjata jarak jauh dan nuklear yang pada awalnya diputuskan Pyongyang sendiri.

“Tindakan itu melanggar penggantungan pelancaran peluru berpandu balistik antara benua yang dijanjikan Pengerusi Kim Jong Un kepada masyarakat antarabangsa," kata Moon dalam satu kenyataan.

“Ia memberi ancaman serius kepada semenanjung Korea, rantau ini juga komuniti antarabangsa,” jelasnya sambil menambah bahawa ia adalah "pelanggaran jelas" terhadap resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu. -AFP

Media Baharu