fb fb fb fb fb

Minggu depan, Singapura tarik semula sekatan perjalanan kepada pengembara

(FOTO AFP)

SINGAPURA, 24 Mac- Singapura akan menarik semula sekatan perjalanan untuk semua pengembara yang telah divaksinasi bermula minggu depan, langkah sama yang telah diumumkan beberapa negara serantau.

Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada Khamis menyifatkan ia langkah permulaan penting, Singapura sebagai hab penerbangan untuk hidup bersama COVID-19.

Singapura antara negara Asia terbaru yang melonggarkan sekatan, rantau yang mengambil langkah berjaga-jaga untuk membuka semula pintu sempadan kepada pengembara luar berbanding negara Eropah dan Amerika Utara.

Singapura yang menjadi pintu masuk untuk pelancong yang tiba di Asia Pasifik sudah melaksanakan skim perjalanan tanpa kuarantin dengan beberapa buah negara sejak beberapa bulan lalu.

Bermula 1 April ini, orang dewasa yang telah mendapatkan vaksin lengkap dan kanak-kanak yang belum divaksinasi akan dibenarkan memasuki negara tanpa kewajiban menjalani kuarantin.

Namun menurut kenyataan kerajaan, mereka wajib menjalani ujian saringan COVID-19 sebelum memulakan perjalanan.  

Lee berkata, Singapura telah mencapai “perkembangan penting” dalam usahanya untuk hidup bersama virus.


(Gambar menerusi telefon bimbit menunjukkan PM Singapura, Lee Hsien Loong
sedang berucap mengumumkan kelonggaran sekatan COVID-19 pada 24 Mac 2022/AFP)

Mengurangkan sekatan perjalanan akan “menghubungkan semula Singapura dengan dunia luar” jelasnya menerusi ucapan di televisyen tempatan.

“Langkah itu akan merangsang perkembangan perniagaan, terutama sektor pelancongan seterusnya membantu Singapura mendapatkan semula kedudukannya sebagai hab perniagaan dan penerbangan.”

Hanya pengembara dalam senarai larangan akan berdepan sekatan masuk ke Singapura, meskipun buat masa ini tiada negara tersenarai.

Selain itu beberapa kelonggaran lain turut dilaksanakan termasuk tidak perlu lagi memakai pelitup muka ketika di luar rumah dan orang ramai boleh berkumpul sehingga 10 orang berbanding hanya lima orang sebelum ini.

Ketika awal pandemik, Singapura yang dihuni kira-kira 5.5 juta penduduk berjaya mengekalkan kes poisitif harian yang rendah melalui penutupan sempadan dan langkah sekatan pergerakan yang ketat.

Namun, negara itu pernah menyaksikan peningkatan kes secara ketara sehingga memaksa negara hab perdagangan itu menutup sempadan, menyebabkan ekonomi Singapura mengalami kemelesetan terburuk pada 2020.

Ketibaan pelawat antarabangsa juga jatuh kepada hanya 2.7 juta pada tahun itu, berbanding lebih 19 juta pada 2019.

Pendekatan terbaru Singapura itu agak berbeza dengan pesaing hab kewangan, Hong Kong yang mewajibkan pengembara menjalani kuarantin untuk tempoh agak panjang di hotel.

Negara lain di Asia Pasifik yang turut melonggarkan sekatan ialah Malaysia, Indonesia, Australia dan New Zealand. -AFP

Media Baharu