CEBU, 4 November — Sekurang-kurangnya 40 orang disahkan terkorban selepas Taufan Kalmaegi melanda wilayah tengah Filipina, menyebabkan hujan lebat, banjir besar serta ribuan penduduk dipindahkan ke pusat perlindungan.
Menurut pihak berkuasa walaupun kekuatan Kalmaegi, yang juga dikenali sebagai Tino dalam kalangan penduduk tempatan, telah melemah selepas mendarat awal pagi Selasa, taufan itu masih membawa angin berkelajuan 130 kilometer sejam dengan tiupan kencang mencecah 180 kilometer sejam, ketika ia melintasi kepulauan Visayas menuju ke utara Palawan dan seterusnya ke Laut China Selatan.
Pegawai maklumat wilayah Cebu, Ainjeliz Orong, berkata 39 daripada 40 kematian dilaporkan di wilayah Cebu, manakala seorang lagi mangsa ditemukan di pulau Bohol.
“Operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan kerana masih terdapat individu yang hilang dan belum dikenal pasti,” katanya, sambil menjelaskan kebanyakan kematian berpunca daripada lemas dan ditimpa serpihan runtuhan.
Pihak berkuasa memindahkan puluhan ribu penduduk di wilayah Visayas, selatan Luzon dan utara Mindanao sebagai langkah berjaga-jaga.
Taufan itu dijangka bergerak meninggalkan Filipina lewat Rabu atau awal Khamis.
Menjelang petang Selasa, banjir di Cebu City mulai surut, namun bekalan elektrik masih terputus di banyak kawasan dan rangkaian telekomunikasi masih terganggu.
Foto dan video yang dikongsi Palang Merah Filipina menunjukkan anggota penyelamat meredah air separas lutut dan menggunakan bot untuk memindahkan penduduk yang terperangkap, manakala di bandar Liloan, banyak rumah tenggelam sehingga hanya bumbung kelihatan.
Lebih 180 penerbangan turut dibatalkan, dan kapal serta bot nelayan diarahkan berlindung di pelabuhan berdekatan.
Sementara itu Agensi Kaji Cuaca Filipina (PAGASA) memberi amaran mengenai “gelombang ribut berbahaya” setinggi tiga meter yang boleh mengancam komuniti pesisir pantai.
Filipina, yang puratanya dilanda sekitar 20 taufan setiap tahun, masih dalam fasa pemulihan selepas beberapa bencana termasuk gempa bumi dan ribut kuat dalam beberapa bulan kebelakangan ini.
Pada September lalu, Taufan Ragasa melanda Luzon utara dan menyebabkan penutupan sekolah serta pejabat kerajaan akibat hujan lebat dan angin kencang.— REUTERS