KHULM, 4 November — Sekurang-kurangnya 27 orang terkorban manakala hampir seribu lagi cedera selepas gempa bumi berukuran 6.3 pada skala richter melanda utara Afghanistan pada awal pagi Isnin, menurut Kementerian Kesihatan negara itu.
Jurucakap kementerian, Sharafat Zaman, berkata kebanyakan mangsa merupakan penduduk Balkh dan Samangan, wilayah yang paling teruk terjejas akibat gegaran tersebut.
“Dengan usaha pantas dan kerjasama pelbagai agensi, pihak berkuasa telah menamatkan operasi mencari dan menyelamat di kawasan terjejas,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Negara Afghanistan, kebanyakan mangsa yang cedera berada dalam keadaan tidak kritikal.
Pusat gempa bumi dikesan di daerah Khulm, wilayah Samangan, berhampiran bandar Mazar-i-Sharif. Seorang wartawan AFP di lokasi melaporkan penduduk setempat dilihat membersihkan runtuhan rumah masing-masing walaupun hujan lebat masih turun.
Syarikat pembekal tenaga negara pula memaklumkan kerja-kerja membaiki talian elektrik yang rosak sedang dijalankan.
Gempa bumi terbaharu ini berlaku hanya beberapa bulan selepas gegaran dahsyat pada Ogos lalu yang mengorbankan lebih 2,200 nyawa dan mencederakan hampir 4,000 orang di wilayah timur yang bersempadan dengan Pakistan. Sekali gus menjadikannya gempa bumi paling buruk dalam sejarah moden Afghanistan.
Afghanistan sering mengalami gempa bumi kerana kedudukannya berhampiran banjaran Hindu Kush, tempat pertemuan plat tektonik Eurasia dan India, yang menjadikan wilayah itu antara kawasan seismik paling aktif di dunia.-AFP