fb fb fb fb fb

Lebih ramai penduduk Ukraine jadi pelarian, jika Rusia teruskan serangan

(Foto AFP)

GENEVA, 11 Oktober- Lebih ramai penduduk Ukraine akan menjadi pelarian, jika Rusia terus melancarkan serangan peluru berpandu di Kiev dan bandar-bandar lain di Ukraine.

Amaran itu diberikan Pesuruhjaya Tinggi, Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) bagi Pelarian, Filippo Grandi.

Awal pagi semalam, Moscow melancarkan serangan terbesar dalam tempoh beberapa bulan di seluruh Ukraine sebagai tindak balas terhadap serangan sehingga merosakkan jambatan utama yang menghubungkan Russia ke Semenanjung Crimea. Jambatan tersebut adalah simbol pengisytiharan Crimea 2014 oleh Kremlin.

"Insiden yang menakutkan berlaku di Ukraine hari ini, tidak boleh dimaafkan," kata Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Pelarian, Filippo Grandi kepada media di Geneva.

Tegas beliau, pengeboman orang awam, kediaman dan infrastruktur bukan ketenteraan secara sembarangan di seluruh Ukraine menjadikan perang bertambah buruk.

"Saya khuatir inisiden ini akan mencetuskan lebih banyak perpindahan dan akhirnya menjadikan lebih ramai warga Ukraine sebagai pelarian," katanya.


(Penyiasat melakukan pemeriksaan berikutan
serangan peluru berpandu di Dnipro pada 10 Oktober/AFP)

Sejak pencerobohan Rusia ke atas Ukraine pada 24 Februari lalu, lebih 7.6 juta penduduk Ukraine menjadi pelarian di seluruh Eropah.

Walaupun sebilangan daripada mereka telah kembali ke negara itu, lebih daripada 4.2 juta rakyat Ukraine telah mendaftar untuk status perlindungan sementara di negara kesatuan Eropah (EU).

Sementara itu, menurut Pertubuhan Antarabangsa bagi Migrasi PBB hampir tujuh juta lagi telah kehilangan tempat tinggal di dalam negara yang dilanda konflik itu serta menjadi pelarian di dalam negara.

Grandi menjangkakan lebih ramai akan melarikan diri berikutan serangan Rusia yang menyebabkan sekurang-kurangnya 14 orang terkorban dan hampir 100 orang cedera.

"Kita akan melihat terutamanya perpindahan dalaman," katanya, bercakap di luar majlis Anugerah Nansen berprestij UNHCR, yang tahun ini dinobatkan kepada bekas canselor Jerman Angela Merkel.

Beliau berkata situasi perpindahan di Ukraine pada masa ini adalah sangat kritikal.

"Mereka melarikan diri selama beberapa jam sahaja untuk mengelak daripada bom...dan kemudian cuba pulang ke rumah," katanya.

Katanya, dalam situasi yang menyebabkan kemusnahan lebih dahsyat, mereka tidak mempunyai akses termasuk kepada bekalan makanan, menyebabkan perpindahan penduduk akan berterusan.-AFP

Media Baharu