WASHINGTON, 5 Januari - Satu siasatan oleh panel Senat Amerika Syarikat (AS) telah mendedahkan bahawa bank pelaburan Credit Suisse menyembunyikan maklumat semasa siasatan terdahulu berhubung akaun bank yang dikawal oleh Nazi semasa Perang Dunia Kedua.
Menurut kenyataan Jawatankuasa Belanjawan Senat pada Sabtu, puluhan ribu dokumen yang ditemui dalam pemeriksaan berterusan telah memberikan bukti baharu mengenai kewujudan akaun yang dikaitkan dengan pemegang akaun Nazi.
Bank tersebut gagal mendedahkan maklumat tersebut ketika siasatan sebelumnya, termasuk pada 1990-an.
Credit Suisse, yang kini anak syarikat UBS, sebelum ini bersetuju menyelesaikan saman oleh mangsa Holocaust pada tahun 1998 dengan bayaran sebanyak AS$1.25 bilion.
Namun, bank itu dituduh tidak sepenuhnya terbuka mengenai urus niaganya yang lalu dengan Nazi.
Satu set dokumen baharu, termasuk 3,600 fail fizikal dan 40,000 mikrofilem, didapati mempunyai kaitan yang tinggi dengan Nazi, menurut siasatan Senat.
Penemuan itu bermula daripada laporan interim oleh Neil Barofsky, seorang bekas pendakwa raya yang dipecat sebagai penyelia bebas oleh Credit Suisse pada tahun 2022 setelah ditekan untuk mengehadkan siasatannya.
Barofsky dilantik semula pada 2023 selepas UBS mengambil alih Credit Suisse dan hasil desakan Jawatankuasa Senat.
Dalam surat kepada panel Senat, Barofsky menyatakan "tahap kerjasama luar biasa" daripada Credit Suisse di bawah pimpinan UBS, namun menegaskan bahawa maklumat penuh masih belum dikongsi sepenuhnya oleh bank tersebut.
Laporan turut mendedahkan kewujudan akaun yang dikawal oleh pegawai tinggi, seperti dilaporkan Wall Street Journal.
Dokumen juga menunjukkan fail pelanggan bertanda "Amerikanische schwarze Liste" (Senarai Hitam Amerika), yang menandakan individu atau syarikat yang diketahui berdagang dengan kuasa Paksi atau dibiayai secara langsung oleh mereka.
Salah satu fail berkaitan entiti yang terlibat dalam penjualan aset Yahudi yang dirampas semasa era Nazi.
Ketika dihubungi oleh AFP, UBS mengesahkan komitmennya untuk memberikan rekod lengkap mengenai akaun Nazi yang berkaitan dengan bank terdahulu Credit Suisse.
UBS menyatakan sokongan penuh kepada usaha Barofsky dalam meneliti tempoh tragis tersebut.
Jawatankuasa Senat memaklumkan bahawa siasatan terhadap hubungan Credit Suisse dengan akaun Nazi masih diteruskan, dengan matlamat memastikan keadilan kepada mangsa Holocaust dan ketelusan mengenai sejarah bank tersebut.-AFP