fb fb fb fb fb

Bono, Denzel Washington & Soros dianugerahkan Presidential Medal of Freedom

Denzel Washington menerima Presidential Medal of Freedom daripada Biden / AFP

WASHINGTON, 5 Januari- Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden, menganugerahkan Presidential Medal of Freedom (Pingat Kebebasan Presiden) kepada 19 tokoh terkenal daripada pelbagai bidang pada Sabtu, beberapa hari sebelum tempoh pentadbirannya berakhir.

Anugerah itu merupakan penghormatan tertinggi bagi orang awam di Amerika Syarikat diberikan kepada bintang bola sepak Lionel Messi, legenda bola keranjang Earvin "Magic" Johnson, pereka fesyen Ralph Lauren, pelakon Michael J Fox dan Denzel Washington, serta penyayi rock Bono daripada kumpulan U2.

Penerima secara anumerta termasuk Fannie Lou Hamer, seorang aktivis hak sivil berkulit hitam dan Robert F. Kennedy, yang pernah berkhidmat sebagai Peguam Negara Amerika Syarikat ketika abangnya, John F. Kennedy, menjadi presiden. Beliau dibunuh pada tahun 1968 semasa berkempen untuk pencalonan presiden dari parti Demokrat.

Dalam sebuah majlis di White House, Biden menyatakan, "Penerima Presidential Medal of Freedom sebagai "orang yang benar-benar luar biasa yang memberikan usaha suci mereka untuk membentuk budaya dan perjuangan Amerika."

Antara penerima penghormatan lain tahun ini ialah chef Jose Andres, pengasas NGO World Central Kitchen, dan penyelidik primat Jane Goodall, yang merupakan suara utama dalam perjuangan alam sekitar.

Turut diberi penghormatan ialah jutawan kewangan dan dermawan berhaluan kiri, George Soros, dengan anugerah tersebut diterima oleh anaknya, Alexander.

Soros dihormati kerana beliau telah menyokong organisasi dan projek di seluruh dunia yang memperkukuh demokrasi, hak asasi manusia, pendidikan, dan keadilan sosial.

Beberapa penerima yang dipilih mempunyai profil yang lebih bersifat politik, seperti Hillary Clinton.

Clinton merupakan bekas wanita pertama, senator dan Setiausaha Negara Amerika Syarikat. Beliau juga pernah bertanding menentang Donald Trump dalam pemilihan presiden tahun 2016 tetapi tidak berjaya.

White House dalam kenyataannya memaklumkan, pingat berprestij itu dianugerahkan kepada "individu yang telah memberikan sumbangan luar biasa kepada kemakmuran, nilai, atau keselamatan Amerika Syarikat, keamanan dunia, atau usaha masyarakat, awam atau swasta yang penting.-AFP

 

0501 PRESIDENTIAL AWARDBono menerima Presidential Medal of Freedom daripada Biden / AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE