WASHINGTON, 5 Januari - Satu ribut musim sejuk yang kuat telah mula melanda kawasan tengah Amerika Syarikat (AS) dengan ahli meteorologi memberi amaran bahawa berjuta-juta penduduk di bahagian timur negara itu bakal berdepan dengan ribut salji, ais yang berbahaya, suhu yang amat sejuk, serta gangguan perjalanan besar-besaran.
Ribut itu dijangka menjejaskan lebih 60 juta orang di laluan ribut tersebut, dengan separuh bahagian timur negara itu bakal dilanda udara Artik yang membawa suhu beku sehingga Isnin.
Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan (NWS) memberi amaran tentang angin kencang yang bakal melanda negeri-negeri dari Dataran Tengah hingga ke kawasan Mid-Atlantik.
Amaran ribut musim sejuk telah dikeluarkan dari barat Kansas hingga ke negeri-negeri pesisir Maryland, Delaware, dan Virginia, melibatkan kawasan sejauh 2,400 kilometer yang berada dalam ancaman segera.
Ribut pertama tahun 2025 ini telah mengakibatkan gangguan perjalanan, termasuk penutupan operasi penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kansas City pada Sabtu akibat pengumpulan ais yang cepat.
Di New York dan Pennsylvania, "salji lebat akibat kesan tasik" dari tasik-tasik besar dijangka menambah beban salji setinggi dua kaki (61 cm), dengan kemungkinan mencecah empat kaki di beberapa kawasan, menurut AccuWeather.
Ribut salji dijangka melanda Dataran Tengah pada awal Ahad, mencetuskan "keadaan ribut salji" dengan jalan yang tidak dapat dilalui dan risiko tinggi pemandu terperangkap.
Kawasan seperti timur laut Kansas dan utara tengah Missouri dijangka mengalami salji paling lebat dalam sedekad, melebihi 38 cm.
Di ibu negara, Washington, salji setebal lima hingga sepuluh inci diramalkan.
Sementara itu, angin kencang dan suhu beku di bawah -18°C akan melanda kawasan Pantai Teluk dan kawasan berdekatan.
Selain salji, hujan beku dan hujan batu dijangka dari Kansas hingga ke Virginia, menyebabkan jalan licin, pokok tumbang, dan talian elektrik rosak.
Gangguan elektrik besar dijangka berlaku ketika jutaan penduduk menghadapi cuaca beku tersebut.
Gabenor Missouri dan Virginia telah mengisytiharkan darurat di negeri masing-masing, dengan amaran kepada penduduk untuk bersiap sedia menghadapi cuaca buruk.
"Ribut ini akan membawa gangguan besar dan keadaan berbahaya di jalan raya kita, selain gangguan bekalan elektrik yang signifikan sebelum suhu benar-benar jatuh," kata Gabenor Kentucky, Andy Beshear, dalam satu mesyuarat kecemasan.
Ribut itu dijangka menjadi antara fenomena cuaca paling ekstrem dalam beberapa tahun kebelakangan, menguji daya tahan jutaan penduduk di seluruh negara.-AFP