fb fb fb fb fb

Israel langgar resolusi gencatan senjata-UNIFIL

Foto REUTERS

BEIRUT, 5 Januari-Israel telah melakukan pelanggaran secara terang-terangan terhadap resolusi Majlis Keselamatan PBB 2006 yang menjadi asas kepada gencatan senjata November dengan Hizbullah.

Kenyataan dari Pasukan Interim PBB di Lubnan (UNIFIL) itu dikeluarkan ketika pemimpin Hezbollah, Naim Qassem, memberi amaran bahawa kesabaran kumpulan itu terhadap pelanggaran Israel mungkin tamat sebelum tempoh pelaksanaan gencatan senjata selama 60 hari berakhir.

Gencatan senjata rapuh, yang berkuat kuasa pada 27 November, dicemari dengan saling tuduh mengenai pelanggaran daripada kedua-dua pihak.

"Pagi ini, pengaman menyaksikan jentolak tentera Israel memusnahkan tong biru yang menandakan garis penarikan antara Lubnan dan Israel di Labbouneh, serta sebuah menara pemerhatian milik Angkatan Tentera Lubnan yang terletak bersebelahan dengan pos UNIFIL di situ," kata pasukan pengaman.

"Pemusnahan sengaja dan langsung terhadap harta benda UNIFIL yang boleh dikenal pasti serta infrastruktur milik Angkatan Tentera Lubnan merupakan pelanggaran secara terang-terangan terhadap Resolusi 1701 dan undang-undang antarabangsa", jelas kenyataan itu.

Pasukan tersebut, yang diwakili panel yang menyelia pelaksanaan gencatan senjata, menggesa semua pihak untuk mengelak sebarang tindakan, termasuk pemusnahan harta benda dan infrastruktur awam, yang boleh menjejaskan proses gencatan senjata.

Di bawah syarat gencatan senjata, tentera Lubnan perlu ditempatkan bersama pengaman PBB di selatan ketika tentera Israel berundur dalam tempoh 60 hari.

Hizbullah pula perlu menarik pasukannya ke utara Sungai Litani iaitu kira-kira 30 kilometer (20 batu) dari sempadan dan membongkar sebarang infrastruktur ketenteraan yang masih ada di selatan.

Pada akhir Disember, pasukan pengaman PBB menyuarakan kebimbangan terhadap kerosakan berterusan yang dilakukan oleh tentera Israel di selatan Lubnan.

Dalam serangan udara terbarunya di Lubnan pada Khamis, tentera Israel berkata ia bertindak untuk menghapuskan sebarang ancaman kepada Israel "selaras dengan pemahaman gencatan senjata".

Qassem berkata Hezbollah telah memutuskan untuk bersabar, tetapi memberi amaran bahawa kesabaran itu tidak akan bertahan selama-lamanya.

"Kami telah menyatakan bahawa kami memberi peluang untuk mencegah pelanggaran Israel dan melaksanakan perjanjian, dan kami akan bersabar," katanya, sambil menekankan: "Ini tidak bermaksud kami akan menunggu selama 60 hari.

"Kepimpinan akan menentukan bila untuk bersabar, bila untuk mengambil inisiatif, dan bila untuk bertindak balas," tambahnya.-AFP

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD