VIENNA, 5 Januari- Canselor Austria, Karl Nehammer mengumumkan peletakan jawatan selepas rundingan antara dua parti utama negara itu untuk membentuk kerajaan gabungan tanpa Parti Kebebasan (FPO) berhaluan kanan gagal pada Sabtu.
Sehari sebelumnya, parti ketiga, Neos yang bersifat liberal, menarik diri daripada rundingan, menyalahkan parti-parti lain kerana gagal mengambil tindakan berani dan tegas seperti yang digesa.
"Saya akan meletakkan jawatan sebagai Canselor dan sebagai ketua Parti Rakyat dalam beberapa hari akan datang untuk membolehkan peralihan yang teratur," kata Nehammer dalam satu kenyataan video di X selepas berbincang dengan Parti Sosial Demokrat (SPO).
Kegagalan rundingan gabungan itu, tiga bulan selepas pilihan raya parlimen September lepas menyerlahkan kesukaran dalam membentuk kerajaan yang stabil di negara-negara Eropah seperti Jerman dan Perancis, menyaksikan pengaruh parti berhaluan kanan semakin meningkat.
Namun kebanyakan parti enggan bekerjasama dengan mereka.
Parti FPO yang euroskeptik dan pro-Rusia memenangi pilihan raya itu dengan kira-kira 29% undi.
Ia memerlukan rakan gabungan untuk memerintah, tetapi Nehammer menolak untuk bekerjasama dengan ketua FPO, Herbert Kickl.
Ini menyebabkan tiada rakan gabungan yang berpotensi untuk FPO.
Presiden Austria, Alexander Van der Bellen, bekas ketua Parti Hijau, telah memberikan tugas kepada Nehammer untuk membentuk kerajaan.
Kini, dengan pengumuman peletakan jawatan Nehammer, terdapat dua pilihan iaitu sama ada Kickl diberikan tugas untuk membentuk kerajaan atau pilihan raya mengejut diadakan.
Nehammer menggambarkan Kickl sebagai terlalu cenderung kepada teori konspirasi untuk memimpin kerajaan tetapi menyatakan kebanyakan anggota FPO boleh dipercayai.
Namun, Kickl bukan individu luar biasa dalam partinya, yang berkongsi pandangan dengan parti Nehammer mengenai isu seperti imigresen.
Kepimpinan Parti Rakyat (OVP) yang diterajui Nehammer dijadualkan bermesyuarat pada pagi Ahad untuk membincangkan individu berpotensi yang akan menggantikannya.
Pengganti itu berkemungkinan lebih terbuka untuk membentuk gabungan dengan FPO, yang disokong oleh sebahagian besar ahli OVP.
OVP dan FPO pernah bergabung dari 2017 hingga 2019 sebelum skandal video melibatkan ketua FPO ketika itu memaksa gabungan tersebut runtuh.
Sejak pilihan raya terakhir, sokongan terhadap FPO terus meningkat, dengan tinjauan menunjukkan kelebihan lebih 10 mata berbanding OVP dan SPO.-REUTERS.