KIEV, 5 Januari - Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskiy melaporkan pada Sabtu bahawa tentera Rusia dan Korea Utara mengalami kekalahan besar dalam pertempuran di wilayah Kursk, selatan Rusia.
Penilaian daripada pihak Ukraine dan Barat mendapati kira-kira 11,000 tentera Korea Utara ditempatkan di wilayah tersebut.
Kawasan itu kini dikuasai sebahagiannya oleh pasukan Ukraine selepas melancarkan serangan rentas sempadan besar-besaran pada Ogos lalu.
Menerusi ucapan video, Zelenskiy memetik laporan komander tertinggi Ukraine, Oleksandr Syrskyi yang menyatakan bahawa pertempuran berlaku berhampiran kampung Makhnovka, tidak jauh dari sempadan Ukraine.
"Dalam pertempuran berhampiran kampung Makhnovka, di wilayah Kursk, tentera Rusia kehilangan sehingga satu batalion tentera infantri Korea Utara dan pasukan payung terjun Rusia," kata Zelenskiy. "Ini adalah sesuatu yang signifikan."
Bagaimanapun, tiada butiran lanjut diberikan oleh Zelenskiy.
Sebagai rujukan, sebuah batalion biasanya terdiri daripada beberapa ratus anggota.
Reuters tidak dapat mengesahkan secara bebas kenyataan itu.
Zelenskiy sebelum ini turut melaporkan kekalahan besar pasukan Korea Utara di wilayah Kursk, dengan menyatakan mereka tidak mendapat perlindungan daripada tentera Rusia yang mereka bantu.
Beliau mendakwa tentera Korea Utara mengambil langkah melampau untuk mengelak daripada ditawan dan, dalam beberapa kes, dihukum mati oleh pasukan mereka sendiri.
Menurut Zelenskiy, pertempuran sengit berlaku di sepanjang garisan hadapan sepanjang 1,000 kilometer, dengan situasi paling genting di sekitar bandar Pokrovsk.
"Tentera Rusia terus menggunakan jumlah anggota mereka yang besar dalam serangan," katanya.
Jurucakap tentera Ukraine mengesahkan bahawa Pokrovsk kekal sebagai sektor paling "panas" di garisan hadapan.
Tentera Rusia dilaporkan melancarkan serangan baharu untuk memintas bandar itu dari arah selatan dan memutuskan laluan bekalan kepada tentera Ukraine.
Bandar Pokrovsk, yang merupakan lokasi lombong pembekal utama arang batu kok kepada industri keluli Ukraine, mempunyai populasi pra-perang kira-kira 60,000 orang.
Ukraine menganggarkan sekitar 11,000 penduduk masih berada di bandar itu.-REUTERS