fb fb fb fb fb

Sulivan lawat India, bincang isu Empangan China

Penasihat keselamatan negara Amerika Syarikat, Jake Sullivan / Foto REUTERS

WASHINGTON, 5 Januari- Penasihat keselamatan negara Amerika Syarikat, Jake Sullivan, dijangka mengadakan perbincangan dengan rakan sejawatnya di India mengenai kesan empangan China semasa lawatannya ke New Delhi pada 5 hingga 6 Januari, kata seorang pegawai kanan AS pada Jumaat.

Washington dan sekutunya di Barat sejak sekian lama melihat India sebagai penyeimbang kepada pengaruh China yang semakin meningkat di Asia dan peringkat global.

"Kami telah menyaksikan di banyak kawasan di Indo-Pasifik bahawa empangan yang dibina China di hulu sungai, termasuk di wilayah Mekong, boleh memberikan kesan buruk terhadap alam sekitar dan iklim di negara hiliran," kata pegawai kanan AS itu menjelang lawatan Sullivan.

Pegawai itu menambah bahawa Washington akan membincangkan kebimbangan New Delhi mengenai isu tersebut dalam lawatan ini.

Selain itu, Washington juga menjangkakan isu lain seperti kerjasama nuklear awam, kecerdasan buatan (AI), angkasa lepas, pelesenan ketenteraan, dan lebihan kapasiti ekonomi China akan dibincangkan dalam lawatan tersebut, kata pegawai berkenaan.

Bagaimanapun, pegawai AS menyatakan bahawa tiada pertemuan dengan Dalai Lama akan diadakan sepanjang lawatan itu.

Terdahulu, AS dan India telah membina hubungan erat dalam beberapa tahun kebelakangan ini walaupun terdapat perbezaan pendapat mengenai isu seperti layanan terhadap minoriti di India, hubungan New Delhi dengan Rusia ketika pencerobohan Moscow ke atas Ukraine, dan dakwaan komplot pembunuhan terhadap pemisah Sikh di AS dan Kanada.

Sebelum ini, Kerajaan India menyatakan ia telah menyuarakan kebimbangannya kepada Beijing mengenai rancangan China membina empangan hidroelektrik di Tibet di Sungai Yarlung Zangbo yang mengalir ke India.

Pegawai China bagaimanapun mendakwa bahawa projek hidroelektrik di Tibet tidak akan memberi kesan besar terhadap alam sekitar atau bekalan air di hiliran.

Pembinaan empangan itu, yang akan menjadi terbesar seumpamanya di dunia dengan kapasiti anggaran 300 bilion kilowatt-jam elektrik setahun, telah diluluskan bulan lalu.-REUTERS.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD