CRIMEA, 5 Januari - Rusia telah mengisytiharkan darurat wilayah di Crimea pada Sabtu selepas tumpahan minyak yang berlaku di Laut Hitam bulan lalu menyebabkan pencemaran teruk di kawasan sekitar Selat Kerch.
Pekerja penyelamat kini sedang membersihkan lebih daripada 86,000 tan metrik pasir dan tanah tercemar di kedua-dua sisi selat yang memisahkan Semenanjung Kerch dari wilayah Krasnodar di Rusia.
Gabenor Sevastopol, Mikhail Razvozhaev mengumumkan pengisytiharan darurat di bandar tersebut berikutan penemuan kesan pencemaran kecil yang memerlukan tindakan segera.
Keputusan itu memberikan pihak berkuasa untuk membuat keputusan pantas, termasuk mengarahkan penduduk berpindah jika diperlukan.
Kementerian kecemasan melaporkan bahawa tumpahan minyak itu berlaku selepas dua kapal tangki yang dilanda ribut pada 15 Disember lalu, bocor.
Salah satu kapal tenggelam manakala yang lain terkandas.
Tumpahan minyak tersebut telah menyebabkan kerosakan kepada ekosistem tempatan, dengan laporan kematian ikan lumba-lumba, ikan porpoise, dan burung laut.
Lebih 10,000 orang kini terlibat dalam usaha pembersihan pantai di sekitar Anapa, sebuah destinasi percutian musim panas.
Menurut kementerian pengangkutan Rusia, kira-kira 2,400 tan metrik produk minyak telah tumpah ke laut, jumlah yang lebih kecil daripada yang dibimbangi pada awalnya.
Kapal-kapal tangki yang rosak membawa sekitar 9,200 tan metrik (62,000 tong) produk minyak, dan tumpahan melibatkan minyak berat jenis M100 yang mengeras pada suhu 25°C, tidak terapung di permukaan tetapi tenggelam atau tergantung di dalam air.
Tumpahan minyak itu berlaku di kawasan yang dipertikaikan, kerana Crimea yang dikuasai Rusia tidak diiktiraf oleh kebanyakan negara.
Kementerian kecemasan turut memaklumkan bahawa tanah yang tercemar telah dikumpulkan di wilayah Kuban di Rusia dan Crimea.
Usaha pembersihan dan pemulihan dijangka berterusan dalam beberapa minggu akan datang untuk mengatasi kerosakan yang disebabkan oleh tumpahan minyak tersebut.-REUTERS