fb fb fb fb fb

Blue Origin bakal lancar roket Orbit pertama, New Glenn

Roket orbit pertama Blue Origin, New Glenn / Foto REUTERS

FLORIDA, 5 Januari- Syarikat milik pengasas Amazon, Jeff Bezos, Blue Origin, dijangka melancarkan roket orbital pertamanya minggu depan, menandakan detik penting dalam perlumbaan angkasa komersial yang kini didominasi oleh SpaceX milik Elon Musk.

Roket yang dinamakan New Glenn itu dijadualkan berlepas dari Stesen Angkatan Angkasa Cape Canaveral, Florida, seawal Rabu pukul 1:00 pagi (waktu tempatan), dengan tarikh gantian pada Jumaat, menurut notis dari Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA).

Walaupun Blue Origin belum mengesahkan tarikh pelancaran secara rasmi, keterujaan meningkat selepas ujian enjin "Hotfire" yang berjaya pada 27 Disember lalu.

"Destinasi seterusnya, pelancaran," kata Bezos di X, sambil berkongsi video roket gergasi itu dengan enjinnya.

Misi NG-1 akan membawa prototaip Blue Ring, sebuah kapal angkasa yang dibiayai oleh Jabatan Pertahanan AS sebagai platform serba guna untuk pelancaran satelit.

Ia akan kekal di peringkat kedua roket sepanjang ujian penerbangan selama enam jam.

Pelancaran ini menandakan kemasukan Blue Origin ke pasaran pelancaran orbital yang menguntungkan selepas bertahun-tahun menjalankan penerbangan suborbital dengan roket kecil New Shepard yang membawa penumpang dan muatan ke pinggir angkasa.

"Pasaran sebenar adalah pelancaran orbital," kata penganalisis Laura Forczyk, pengasas Astralytical, kepada AFP.

"Penerbangan suborbital mempunyai had tertentu dengan jumlah pelanggan dan muatan yang terhad", katanya.

Pencapaian berkenaan juga dijangka menghangatkan persaingan antara Bezos, individu kedua terkaya di dunia, dan Musk, yang kini merupakan individu terkaya dan sebahagian daripada individu yang memainkan peranan penting di sebalik kemenangan Presiden AS yang baharu dipilih, Donald Trump.

Seperti roket Falcon 9 milik SpaceX, New Glenn juga menampilkan peringkat pertama boleh guna semula yang direka untuk mendarat secara menegak di atas kapal di laut.

Dengan ketinggian 320 kaki (98 meter), New Glenn jauh lebih besar berbanding Falcon 9 setinggi 230 kaki dan mampu membawa muatan lebih besar dan berat.

Ia juga menggunakan bahan bakar gas asli cecair yang lebih bersih berbanding minyak tanah dan bergantung pada bilangan enjin yang lebih sedikit.

Setakat ini, SpaceX masih memegang kedudukan dominan dalam pasaran, melayani pelanggan dari syarikat satelit komersial hingga Pentagon dan NASA, yang bergantung kepada roket mereka untuk membawa angkasawan ke dan dari Stesen Angkasa Antarabangsa.

Walaupun Musk bercita-cita untuk menjajah Marikh, Bezos pula membayangkan penempatan koloni angkasa terapung yang besar di sistem suria.

Blue Origin, yang diasaskan pada tahun 2000, dua tahun sebelum SpaceX, berkembang lebih perlahan dengan pendekatan yang lebih berhati-hati.

Sekiranya berjaya, New Glenn akan menawarkan pilihan sistem alternatif untuk kerajaan AS sebagai sandaran jika teknologi lain gagal, kata Scott Pace, penganalisis dasar angkasa dari Universiti George Washington.

Hubungan rapat Musk dengan Trump menimbulkan kebimbangan tentang kemungkinan konflik kepentingan, terutamanya dengan pelantikan Jared Isaacman, sekutu Musk, sebagai ketua NASA yang baharu.

Bezos, bagaimanapun, turut membuat pendekatan diplomatiknya sendiri dengan mengunjungi kediaman Trump di Mar-a-Lago dan Amazon telah mengumumkan sumbangan AS$1 juta kepada jawatankuasa perasmian Trump.-AFP

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD