MILAN, 5 Januari – Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni dijangka terbang ke Florida untuk mengadakan pertemuan dengan Presiden Pilihan Donald Trump, lapor media Itali pada Sabtu.
Pertemuan itu, jika disahkan, berlangsung pada saat Meloni menghadapi cabaran dasar luar susulan penahanan wartawan Itali, Cecilia Sala, di Iran pada 19 Disember lalu ketika menjalankan tugas menggunakan visa kewartawanan biasa.
Sala ditahan hanya tiga hari selepas Mohammad Abedini, seorang ahli perniagaan Iran, ditangkap di Lapangan Terbang Malpensa, Milan.
Penahanan Abedini dilakukan atas permintaan Amerika Syarikat (AS), yang menuduh beliau membekalkan komponen dron yang didakwa digunakan dalam serangan pada 2023 yang mengorbankan tiga anggota tentera AS di Jordan.
Walau bagaimanapun, Iran menafikan sebarang penglibatannya dalam serangan itu.
Jurucakap Trump, Steven Cheung, berkata: "Kami tidak membincangkan pertemuan yang mungkin atau tidak berlaku, tetapi tidak mengejutkan apabila pemimpin dunia menghubungi Presiden Trump selepas kemenangan bersejarah beliau untuk membangunkan hubungan yang lebih baik dengan Amerika Syarikat."
Pejabat Meloni setakat ini belum memberikan kenyataan rasmi berhubung laporan tersebut.
Pada Jumaat, Kementerian Luar Negeri Iran memanggil duta Itali untuk membantah penahanan Abedini.
Media Iran melaporkan, pegawai kementerian tersebut menggesa Itali menolak apa yang mereka gelar sebagai "dasar tebusan Amerika" yang melanggar undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia.
Iran juga meminta pembebasan segera Abedini bagi mengelakkan kerosakan hubungan dua hala.
Abedini kini ditahan di penjara, sementara mahkamah dijangka memutuskan pada akhir bulan ini sama ada membenarkan beliau menjalani tahanan rumah sementara permintaan ekstradisi AS dipertimbangkan.
Media Itali melaporkan bahawa Cecilia Sala kini ditempatkan dalam kurungan bersendirian di sel yang sangat sejuk, dengan lampu neon yang sentiasa menyala siang dan malam.
Beliau juga dilaporkan kehilangan akses kepada cermin matanya dan hampir tiada hubungan dengan dunia luar.
Pengaturan Meloni untuk bertemu Trump dipercayai sebagai usaha membangunkan hubungan strategik, sambil menangani isu-isu genting seperti kes penahanan tersebut.-REUTERS