fb fb fb fb fb

Pemimpin pembangkang Venezuela rancang pertemuan dengan Biden

emimpin politik pembangkang Venezuela, Edmundo Gonzalez Urrutia / Foto AFP

MONTEVIDEO, 5 Januari-Pemimpin politik pembangkang Venezuela, Edmundo Gonzalez Urrutia pada Sabtu berkata beliau merancang untuk bertemu dengan presiden Amerika Syarikat dalam masa terdekat untuk mengadakan perbincangan.

Bercakap di Argentina selepas bertemu Presiden Javier Milei, Gonzalez Urrutia memaklumkan bahawa beliau akan berangkat ke Amerika Syarikat pada Ahad, walaupun masa sebenar perbincangan dengan Biden masih belum ditentukan.

"Kami merancang perbincangan dengan Presiden Biden dan menunggu maklumat lanjut berkaitan pihak berkuasa baharu," katanya di Buenos Aires, merujuk kepada Presiden AS yang akan datang, Donald Trump, yang dijangka memulakan tugas pada 20 Januari.

Pertemuan dengan Milei merupakan sebahagian daripada lawatan serantau untuk membina sokongan antarabangsa terhadap Gonzalez Urrutia, yang dianggap oleh pembangkang Venezuela sebagai presiden sah yang dipilih rakyat.

Gonzalez Urrutia, 75, tampil bersama Milei di balkoni Casa Rosada, pejabat rasmi Presiden Argentina, sementara ratusan rakyat Venezuela di Plaza de Mayo melaungkan "Venezuela,anda tidak keseorangan!"

"Argentina tidak akan berdiam diri terhadap ketidakadilan dan penyalahgunaan kuasa rejim Maduro," kata Milei dalam kenyataan pada Sabtu.

Lawatan berkenaan berlangsung hanya beberapa hari sebelum Presiden Venezuela, Nicolas Maduro, dijadualkan mengangkat sumpah untuk penggal ketiga di Caracas.

Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah dan puluhan negara lain mendakwa keputusan pilihan raya pada 28 Julai telah dimanipulasi oleh pegawai Venezuela, yang sehingga kini masih belum menerbitkan butiran penuh keputusan.

Beberapa negara telah mengiktiraf Gonzalez Urrutia sebagai pemenang pilihan raya yang sah, manakala Maduro disokong oleh sebilangan kecil negara termasuk Rusia.

Gonzalez Urrutia tiba di Buenos Aires secara senyap dari Madrid, di mana beliau hidup dalam buangan sejak melarikan diri dari Venezuela pada September.

Pihak berkuasa Venezuela menawarkan ganjaran AS$100,000 untuk maklumat yang boleh membawa kepada penahanannya.

Protes jalanan tercetus selepas pilihan raya dan bertukar menjadi pertempuran dengan pihak polis, mengakibatkan 28 kematian, 200 cedera dan lebih 2,400 orang ditahan.

Beliau dijangka melawat Panama pada Rabu dan Republik Dominika pada hari berikutnya, sebelum berhasrat untuk kembali ke Caracas pada 10 Januari untuk mengangkat sumpah sebagai presiden.

Lawatan ke Argentina juga berlangsung di tengah-tengah ketegangan diplomatik selepas penahanan seorang anggota polis Argentina di Venezuela atas dakwaan keganasan, yang disifatkan Buenos Aires sebagai tuduhan palsu.

Hubungan kedua-dua negara telah tegang sebelum ini berikutan penolakan Argentina untuk mengiktiraf kemenangan Maduro.

Kedutaan Argentina di Caracas turut melindungi enam tokoh pembangkang yang dituduh melakukan "keganasan", satu isu yang dibangkitkan Gonzalez Urrutia dalam pertemuan dengan Milei.

Selepas Argentina, Gonzalez Urrutia tiba di Montevideo pada Sabtu untuk bertemu Presiden Uruguay, Luis Lacalle Pou, dan Menteri Luar Negeri, Omar Paganini.

Dalam pertemuan tersebut, Gonzalez Urrutia menyerahkan salinan rekod pilihan raya yang didakwa membuktikan kemenangan pembangkang kepada Lacalle.-AFP.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD