fb fb fb fb fb

Penahanan Suk Yeol, penunjuk perasaan terus berhimpun di kediaman rasmi

Foto Reuters

SEOUL, 5 Januari – Ribuan rakyat Korea Selatan berhimpun dalam cuaca bersalji lebat di Seoul pada Ahad untuk menyatakan sokongan dan bantahan terhadap penahanan Presiden yang digantung tugas, Yoon Suk Yeol.

Krisis politik negara itu kini bergerak ke arah satu lagi konfrontasi berisiko tinggi.

Dengan waran penahanan terhadap Suk Yeol atas tuduhan pemberontakan dijangka tamat pada tengah malam Isnin (1500 GMT), beberapa kumpulan telah mengadakan demonstrasi berhampiran kediaman rasmi beliau.

Ada yang mendesak penahanannya segera, sementara yang lain menuntut agar tindakan itu dihentikan.

Suk Yeol menjadi Presiden pertama Korea Selatan yang berdepan kemungkinan penahanan semasa masih memegang jawatan.

Kes itu tercetus daripada cubaan gagal mengisytiharkan darurat tentera pada 3 Disember lalu, yang membawa kepada kekacauan politik dalam ekonomi keempat terbesar Asia dan sekutu utama Amerika Syarikat.

Presiden konservatif itu telah dipecat oleh parlimen dan digantung tugas rasmi sementara menunggu keputusan mahkamah sama ada untuk mengekalkan atau memecat beliau.

Pada Jumaat lalu, pegawai penyiasat jenayah telah dihalang oleh pasukan keselamatan presiden dan tentera daripada menahan Sok Yeol dalam kebuntuan selama enam jam.

Sebahagian penunjuk perasaan telah berkumpul sejak malam sebelumnya di pusat bandar Seoul, walaupun suhu mencecah bawah -5 darjah Celsius.

Lebih 5 cm salji dilaporkan turun di beberapa bahagian ibu negara, yang kini berada di bawah amaran salji lebat.

"Kita perlu memperkukuh semula asas masyarakat kita dengan menghukum presiden yang mengkhianati perlembagaan," kata Yang Kyung-soo, pemimpin Gabungan Kesatuan Sekerja Korea (KCTU), sebuah kumpulan buruh utama yang menyertai protes tersebut.

"Kita mesti menjatuhkan Suk Yeol yang melakukan jenayah, menangkap dan menahannya secepat mungkin."

Sementara itu, penyokong Suk Yeol turut mengadakan perhimpunan berhampiran lokasi yang sama, membawa plakad dengan slogan seperti "Kami akan berjuang untuk Presiden Yoon Suk Yeol" dan "Hentikan Penipuan".-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN