fb fb fb fb fb

Lebih 625,000 kanak-kanak Gaza tidak bersekolah sejak perang tercetus - UNRWA

Agensi Bantuan dan Pekerjaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNRWA) bagi Pelarian Palestin mendedahkan lebih 625,000 kanak-kanak tidak bersekolah selama lebih lapan bulan peperangan di Gaza / Foto AFP

GAZA, 29 Jun - Agensi Bantuan dan Pekerjaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNRWA) bagi Pelarian Palestin pada Jumaat mendedahkan lebih 625,000 kanak-kanak tidak bersekolah selama lebih lapan bulan peperangan di Gaza.

Memetik laporan agensi berita Palestin (WAFA), 300,000 daripada mereka adalah pelajar UNRWA.

"Aktiviti bermain dan pembelajaran yang disediakan oleh pasukan UNRWA adalah penting untuk mempersiapkan kanak-kanak kembali ke sekolah dan mengembalikan hak mereka untuk mendapat pendidikan," kata agensi itu dalam platform media sosial X.

Israel melancarkan serangan berterusan ke atas Semenanjung Gaza dengan tidak menghiraukan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang mengarahkan Tel Aviv menghentikan serangan di Rafah kerana ia mungkin melanggar kewajipan di bawah Konvensyen Genosid.

Sejak 7 Oktober, lebih 37,000 rakyat Palestin terkorban manakala lebih 86,000 yang lain cedera.

Selain itu, sekurang-kurangnya 10,000 orang gagal dikesan.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN