fb fb fb fb fb

Lebih 30 trak bantuan memasuki Gaza

(Lori yang membawa bantuan kemanusiaan memasuki Gaza dari Mesir melalui sempadan Rafah/AFP

GAZA, 30 Oktober- Lebih 30 trak bantuan memasuki Gaza pada Ahad. Ia merupakan konvoi terbesar yang dibenarkan melintasi sempadan Rafah ke wilayah Palestin sejak seminggu lalu.

Agensi Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), OCHA berkata, sebanyak 33 buah lori yang membawa bekalan air bersih, makanan, dan ubat-ubatan memasuki wilayah Palestin itu semalam, melalui sempadan Rafah dengan Mesir.

"Ini adalah penghantaran bantuan kemanusiaan terbesar sejak 21 Oktober, dengan penghantaran terhad diteruskan," kata OCHA dalam kemas kini mengenai situasi di Gaza yang dihantar awal Isnin.

Katanya, setakat ini 117 trak telah memasuki Gaza melalui lintasan itu sejak penghantaran diteruskan ke wilayah Palestin yang mempunyai 2.4 juta penduduk, turut dikepung hampir keseluruhan dan pengeboman Israel tanpa henti.

Sebelum kepungan, kira-kira 500 trak yang membawa bantuan dan barangan lain memasuki Gaza setiap hari.

Kementerian Kesihatan Gaza berkata serangan Israel sejak awal Oktober itu telah membunuh lebih 8,000 orang di Palestin, separuh daripadanya kanak-kanak. Beribu-ribu bangunan telah musnah, dengan lebih separuh penduduk dipindahkan.

Ketua PBB Antonio Guterres menyuarakan kebimbangan bahawa Israel sedang meningkatkan operasi ketenteraannya di Gaza, memberi amaran bahawa dunia sedang menyaksikan bencana kemanusiaan.

Seorang pegawai kerajaan AS, yang enggan dikenali, berkata bahawa Israel komited untuk membenarkan 100 trak bantuan masuk ke Gaza setiap hari, angka didakwa PBB perlu bagi memenuhi keperluan paling asas.

OCHA mengalu-alukan penghantaran bantuan terbaharu, namun menegaskan bahawa "jumlah bantuan yang lebih banyak diperlukan secara berterusan khususnya bahan api untuk mengendalikan peralatan perubatan dan kemudahan air.

Sehingga kini, 117 lori bantuan kemanusian dilaporkan berjaya dibawa masuk Gaza sejak 7 Oktober lepas. Daripada jumlah tersebut, 70 lori membawa bekalan perubatan, manakala 60 lagi membawa masuk makanan, 13 trak membawa bekalan air dan barangan sanitasi.

Israel telah menyekat semua penghantaran bahan api dan mendakwa akan dieksploitasi oleh Hamas untuk membuat senjata api dan bahan letupan.-AFP

ROSLINA BINTI DIN