fb fb fb fb fb

Halang bantuan sampai ke Gaza, kesalahan jenayah- ICC

Foto hiasan

EGYPT, 30 Oktober- Tindakan menghalang bantuan sampai kepada penduduk Gaza mungkin merupakan kesalahan jenayah.

Pendakwa Raya Mahkamah Jenayah Antarabangsa, Karim Khan berkata, perbuatan menyekat penyaluran bantuan yang tertakluk bawah Konvensyen Geneva boleh dianggap sebagai kesalahan jenayah bawah bidang kuasa Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

"Menghalang bekalan bantuan seperti yang disediakan oleh konvensyen Geneva mungkin merupakan jenayah dalam bidang kuasa mahkamah," katanya.

Beliau berkata pihaknya akan terus menjalankan siasatan berhubung sebarang jenayah yang dilakukan di wilayah Palestin, termasuk yang berlaku di Gaza dan Tebing Barat baru-baru ini.

Beliau turut menggesa Israel agar tidak melengahkan usaha memastikan orang awam menerima makanan asas dan ubat-ubatan.

Beliau mahu menggariskan dengan jelas kepada Israel bahawa mesti ada usaha yang dapat dilihat tanpa berlengah lagi untuk memastikan orang awam di wilayah Palestin menerima makanan asas dan ubat-ubatan.

"Saya melihat trak penuh dengan barangan bantuan kemanusiaan tersekat di tempat seperti tiada siapa yang memerlukannya, tersangkut di Rafah, Mesir," katanya di Kaherah, selepas melawat persimpangan Rafah Mesir dengan Gaza, pintu masuk utama untuk bantuan antarabangsa.

"Bekalan ini mesti sampai kepada orang awam Gaza tanpa membuang masa.

Tambanhnya, penahanan tebusan adalah melanggar Konvensyen Geneva.

"Saya menyeru pembebasan segera semua tebusan agar mereka kembali dengan selamat kepada keluarga mereka," katanya.

Bekalan bantuan ke Gaza terputus, sejak tentera zionis mula mengebom wilayah terkepung di Palestin yang padat dengan penduduk, 7 Oktober lalu.

Sementara itu, Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) melahirkan bimbang mengenai ketenteraman awam selepas konflik tiga minggu lalu dan pengepungan ketat ke atas Gaza.

Penduduk Gaza memecah masuk ke gudang bantuan makanan yang dikendalikan Agensi Kerja dan Bantuan PBB bagi Pelarian Palestin (UNRWA).

Ketua PBB Antonio Guterres berkata keadaan "semakin terdesak dari semasa ke semasa" apabila korban dalam konflik meningkat dan bekalan penting makanan, air, ubat-ubatan dan tempat tinggal terjejas dan berkurangan.

Penduduk di wilayah Palestin hidup di bawah pengepungan sepenuhnya sejak konflik tiga minggu lalu.

Kementerian Kesihatan Gaza berkata serangan Israel telah membunuh lebih 8,000 orang, terutamanya orang awam dan sebahagian daripadanya kanak-kanak.-AFP

ROSLINA BINTI DIN