BARRANCAS, 30 Oktober- Pihak berkuasa Colombia mempergiat usaha mencari dan menyelamat bapa kepada penyerang Liverpool, Luis Diaz iaitu Luis Manuel Diaz, yang dilaporkan telah diculik pada Sabtu.
Lebih 120 anggota tentera dan pasukan polis Colombia dikerah mencari Luis Manuel Diaz, dengan ibunya, Cilenis Marulanda turut dijumpai pada hari sama.
Tentera dalam satu kenyataan berkata operasi digerakkan menerusi bantuan dua pasukan bermotor, penggunaan dron, aset udara termasuk helikopter dan pesawat selain mengadakan sekatan jalan raya.
Polis Colombia telah menawarkan ganjaran bersamaan dengan kira-kira $48,000 untuk maklumat yang membawa mereka kepada Diaz dan penculiknya.
Pihak berkuasa Colombia tidak memberikan butiran mengenai penculikan itu tetapi media melaporkan bapa dan ibu pemain bola sepak itu telah diambil pada Sabtu oleh lelaki bersenjata yang menaiki motosikal di sebuah stesen minyak di Barrancas, bahagian utara La Guajira.
Presiden Gustavo Petro berkata Marulanda telah diselamatkan di Barrancas beberapa jam selepas pasangan itu diambil.
Peguam Negara Colombia, Francisco Barbosa memberitahu sidang akhbar Ahad bahawa Diaz mungkin berada di Venezuela, tanpa mengulas lanjut.
Bagaimanapun, motif penculikan itu tidak didedahkan.
"Kami terdesak, kami tertekan, kami tidak tahu apa-apa tentang dia," kata Olmer Diaz, bapa saudara kepada Luis Dias memberitahu AFP di Barrancas, menggesa agar adiknya dibebaskan segera.
Colombia terkenal dengan konflik sivil selama berdekad-dekad dengan aktiviti jenayah kumpulan bersenjata meningkat sehingga menyaksikan lebih 38,000 orang diculik telah selama ini, kebanyakannya untuk wang tebusan.
Luis Manuel Diaz adalah seorang jurulatih amatur di satu-satunya sekolah bola sepak di Barrancas, sebuah bandar dengan kira-kira 38,000 penduduk berhampiran sempadan Venezuela, di mana bakat bola sepak Diaz telah dikesan.
Bapanya dipuji kerana membantu kebangkitan mendadak penyerang Liverpool dan Colombia yang dikenali sebagai 'Lucho'.
Liverpool FC mengeluarkan kenyataan pada Ahad mengatakan ia menyedari situasi berterusan yang melibatkan keluarga Luis Diaz di Colombia.
Pengurus The Reds, Jurgen Klopp menyifatkan ia sebagai situasi yang membimbangkan pasukannya.
“Kami jelas terpaksa membuat perubahan lewat kerana situasi peribadi yang melibatkan Luis Diaz."
"Ia adalah malam yang agak sukar. Saya tidak pernah mengalaminya sebelum ini. Ia adalah pengalaman baharu yang tidak pernah saya perlukan,” katanya menjelang perlawanan Ahad ini.
Diaz ialah orang asli Colombia pertama yang berjaya mencapai pentas tertinggi bola sepak dunia.
Dia telah bermain untuk negaranya sebanyak 43 kali dan tiba di Liverpool tahun lalu dari kelab Portugal, Porto.
Dia telah bermain 11 perlawanan dengan Liverpool dan menjaringkan tiga gol.- AFP