GAZA, 30 Oktober- Hamas menggesa Mesir untuk mengambil tindakan tegas untuk mempercepatkan bantuan ke Gaza.
Ahli Biro Politik Hamas, Musa Abu Marzouk dalam kenyataan berkata Mesir tidak sepatutnya kekal sebagai 'penonton.'
"Kami menjangkakan pendirian tegas oleh Mesir membenarkan bantuan memasuki Gaza secepat mungkin", katanya.
Gaza diserang tanpa henti oleh rejim zionis dan mengalami kekurangan makanan, air, ubat-ubatan dan bahan api yang kritikal.
Konvoi bantuan hanya boleh sampai ke wilayah itu melalui persimpangan Rafah dari Mesir. Setakat ini kira-kira 90 trak telah masuk menerusi perjanjian yang diuruskan oleh Amerika Syarikat dan Mesir.
Menurut White House, Presiden AS Joe Biden dan Presiden Mesir Abdel Fattah al-Sisi "komited untuk mempercepat dan meningkatkan bantuan ke Gaza bermula hari ini dan secara berterusan.
Mesir, negara Arab pertama yang menjalin hubungan dengan Israel pada 1979, telah menjadi salah satu ejen utama dalam usaha mendapatkan pembebasan lebih 230 tebusan yang ditahan oleh Hamas di Gaza.-AFP