NEW DELHI, 30 Oktober- Sekurang-kurangnya lapan orang terbunuh dan kira-kira 20 orang cedera pada petang Ahad selepas dua kereta api bertembung di tenggara India, lapor media tempatan.
Press Trust of India melaporkan nahas itu menyebabkan kereta api tergelincir di antara bandar Alamanda dan Kantakapalle di Andhra Pradesh. Memetik laporan PTI, menurut pegawai kemalangan itu berlaku selepas satu kereta api penumpang berkenaan tersalah menghantar isyarat.
Perdana Menteri India Narendra Modi menulis di twitter, bahawa dia telah bercakap dengan kementerian kereta api negara itu dan bahawa dia "mengucapkan takziah kepada keluarga yang berduka dan berdoa agar mereka yang cedera segera pulih."
India mempunyai salah satu rangkaian rel terbesar di dunia dan telah mengalami beberapa bencana sejak beberapa tahun, yang paling buruk pada 1981 apabila sebuah kereta api tergelincir semasa menyeberangi jambatan di negeri Bihar dan terjunam ke dalam sungai dan mengorbankan kira-kira 800 orang.
Pada bulan Jun, perlanggaran tiga kereta api membunuh hampir 300 orang di negeri Odisha.
Pada Ogos sekurang-kurangnya sembilan orang terbunuh apabila sebuah koc yang diletakkan di selatan India terbakar ketika seorang penumpang sedang membuat teh.-AFP